MINI Cooper S Countryman, PHEV SE Countryman dilancarkan - versi CKD dari RM244 ribu

oleh Mohamad Hanif|
Selain daripada model BMW X7 xDrive40i Pure Excellence, BMW Group Malaysia turut membawakan dua lagi model pemasangan tempatan, iaitu MINI Cooper S Countryman dan SUV plug-in hybrid MINI Cooper SE Countryman.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kedua-dua model ini tampil dengan elemen rekaan MINI ALL4 Exterior Optic yang boleh dilihat pada bampar depan dan belakang, elemen rekaan Piano Black Exterior Optic pada beberapa tempat seperti perumah lampu utama, lampu belakang, gril radiator, pemegang pintu dan emblem model pada pintu tailgate.

Ciri standard termasuklah lampu utama LED automatik dengan lampu membelok, jaluran pada bonet, rel bumbung, side sills, lampu belakang LED dengan grafik bendera Union Jack, serta rim bersaizs 19 inci MINI Turnstile Spoke dengan tayar Run-Flat untuk MINI Cooper S Countryman, dan rim 19 inci MINI Yours British Spoke dengan tayar run-flat untuk MINI Cooper SE Countryman.

 


Sementara ruang dalaman pula didatangkan dengan kokpit MINI Yours Illuminated yang menampilkan kombinasi warna Shaded Silver, Dark Silver dan Hazy Grey, sementara headliner pula adalah daripada Satellite Grey, roda stereng MINI Yours Walknappa Leather, dan insignia bendera Union Jack pada bahagian bawah roda stereng.

Untuk pertama kalinya, MINI Cooper S Countryman dan MINI Cooper SE Countryman menampilkan skrin kluster instrumen bersaiz lima inci yang memaparkan bacaan kelajuan, bahan api, jarak perbatuan, suhu dan arahan navigasi, diikuti dengan skrin tengah bersaiz 8.8 inci, paparan head-up, dan sistem audio Harman Kardon dengan 12 pembesar suara.

Ciri keselamatan dipertingkatkan dengan sistem Driving Assistant sebagai ciri standard yang merangkumi bantuan suluhan tinggi, informasi had kelajuan, fungsi brek dalam bandar dengan pengesan pejalan kaki (10-60 km/j) dan ciri approach control warning.

 


Dari segi kuasa, MINI Cooper S Countryman didatangkan dengan nadi 2.0 liter turbo yang menghasilkan 192 kuasa kuda dan 280 Nm daya kilas, dan sistem transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan yang membenarkan pecutan 0-100 km/j dalam 7.5 saat dan berupaya mencapai kelajuan tertinggi 226 km/j.

Sementara model MINI Cooper SE Countryman pula datang dengan padanan enjin 1.5 liter MINI TwinPower Turbo dan motor elektrik yang menghasilkan kuasa gandingan 224 hp dan 385 Nm daya kilas.

SUV plug-in hybrid ini mampu memecut dari pegun dalam tempoh 6.8 saat sebelum mencapai 100 km/j dan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 194 km/j.

 


Teknologi eDrive pula terdiri daripada motor elektrik tunggal dan pek bateri berkapasiti 10 kWh yang memberikan jarak operasi maksimum 48 km dalam keadaan sifar emisi.

Model PHEV ini turut datang dengan tiga mod eDrive, iaitu:

  • AUTO eDrive - keseimbangan antara kuasa enjin dan motor elektrik
  • MAX eDrive - kuasa elektrik sepenuh masa sehingga 120 km/j
  • Save Battery Mode - penggunaan enjin digunakan sepenuh masa, atau mengekalkan status pengecasan pada 90 peratus

Pek bateri MINI Cooper SE Countryman boleh dicas menggunakan kabel pengecasan rumah standard 2.3 kW yang mengambil masa kira-kira lima jam dari 0-100 peratus, atau menggunakan fasiliti pengecasan umum 3.7 kW yang mengambil masa tiga jam 15 minit sahaja.

MINI Malaysia turut menawarkan pemilik kabel pengecasan MINI Public Charging Cable dan langganan percuma satu tahun tanpa had untuk menggunakan stesen ChargEV di seluruh negara.

 


Boleh didapati dalam warna Chili Red, White Silver, Island Blue, Thunder Grey, British Racing Green dan Sage Green, harga jualan adalah seperti berikut:

MINI Cooper S Countryman - RM244,265.76
MINI Cooper SE Countryman - RM254,461.84