MINI Cooper S Clubman - camper MINI untuk poket yang kurang Mini!

oleh Mohamad Hanif|
Terasa aneh pula bila kali pertama penulis bertentang mata dengan model pandu uji kali ini, sebuah MINI yang berbentuk seakan sebuah wagon, tapi masih lagi berpenampilan sebuah MINI.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

MINI Cooper S Clubman yang dipaparkan dalam artikel pandu uji ini merupakan generasi kedua (kod generasi F54) yang masuk pasaran Malaysia pada tahun lalu dan disifatkan oleh MINI Malaysia sebagai sebuah kenderaan enam pintu!

Ya, enam pintu, dua di bahagian sisi kiri dan kanan, serta 'dua' lagi pintu di bahagian belakang dengan bukaan macam almari pinggan mangkuk di kampung anda.

Kenapa clubman? Adakah ia berkaitan dengan kelab malam?

 


Berdasarkan bacaan ringkas, 'Clubman' sebenarnya merupakan nama yang diberikan kepada model klasik yang diberikan facelift pada tahun 1970-an, sementara model estate MINI pula diberikan nama 'Traveller' atau 'Countryman'.

Nama 'Clubman' hanya digunakan oleh MINI setelah mereka bergabung dengan BMW, dan 'Clubman' itu sendiri merupakan pilihan nama yang dibuat oleh BMW untuk model yang dimaksudkan.

 


Dengan bentuk badan ala-ala wagon, MINI Cooper S Clubman ini didatangkan dengan nadi MINI TwinPower bersesaran 1,998 cc dengan unit pengecas turbo, menghasilkan 192 kuasa kuda pada 5,000 rpm dan daya kilas 280 Nm yang masuk penuh pada putaran enjin 1,350 rpm.

Dipadankan dengan transmisi DCT tujuh nisbah kelajuan, pecutan 0-100 km/j mampu dicapai dalam masa 7.2 saat sahaja.

Berdasarkan ujian pemanduan di jalan raya, penulis tidak menyangka MINI Cooper S Clubman ini mampu mencapai kelajuan melebihi had laju kebangsaan dalam masa secepat itu, ini kerana pada angka 120 km/j seakan kelajuan 80 km/j sahaja rasanya!

 


Namun, ketika hendak mula bergerak, atau memecut memotong kereta yang mencari rumah sewa di tengah lebuhraya, unit pengecas turbo itu adakalanya memerlukan masa sebelum membenarkan MINI ini melampiaskan kuasanya atas jalan raya.

Perasaan aneh ketika awal mendapat kereta ini hilang tatkala saat tangan mula memegang roda stereng, dan ia meluncur laju di atas jalan raya Malaysia yang cemerlang ini.

Sepanjang pemanduan, sememangnya muka penulis dihiasi dengan senyuman lebar sampai ke telinga, sampai tak sedar kehadiran pak polisi dari jauh menembak nombor pendaftaran kereta ini.

Sedar-sedar, surat sampai ke rumah - melayang duit seketika!

 


Namun, penulis tidak begitu gemar akan pengendalian ala-ala gokart itu ketika di atas lebuhraya, disebabkan respons sterengnya yang terlalu jitu, sehinggakan sedikit pergerakan yang tidak disengajakan mampu menyebabkan kereta ini berubah arah.

Penyelesaiannya?

Ketika pulang dari melakukan tugasan di Port Dickson, penulis sengaja memilih jalan dalam menghala ke Sepang, dan di situ karakteristik sporti MINI ini terbukti berkesan.

Seperti biasa - masuk mod Sport, dan tukar gear secara manual.

Di situ, MINI Cooper S Clubman ini lincah meratah selekoh sehinggakan penulis kerap mendengar decitan bunyi tayar yang ada kalanya kehilangan cengkaman atas jalan disebabkan terlalu seronok bertemu litar kegemarannya.

 


Sistem suspensi MacPherson di hadapan dan Multilink di belakang bertindak baik menyerap segala hentakan dan gegaran di atas jalan, hendak kata terlalu keras pun tidak juga, sebab sepanjang pemanduan penulis rasa cukup selesa duduk di belakang stereng.

Malah, penumpang di sebelah juga tidak mengadu sebarang sakit-sakit badan, siap tidur berdengkur lagi!

Dari segi luaran, MINI Cooper S Clubman ini hadir dengan ciri menarik seperti lampu LED serta lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, lampu belakang LED dengan elemen bendera Union Jack, set rim bersaiz 18 inci MINI Yours British Spoke yang dibaluti tayar 225/40 R18.

Bukaan pintu belakang pula digelar sebagai bi-parting doors atau split doors yang boleh dibuka dan ditutup secara automatik menggunakan butang fungsi yang terdapat pada kunci.

 


Disebabkan rekaan lampu yang bergerak seiring dengan bukaan pintu, satu ciri keselamatan yang didatangkan ketika mengoperasikan pintu bi-parting ini adalah lampu di bahagian bumper akan menyala ketika mana-mana pintu dibuka.

Sebaik sahaja pintu bi-parting ini dibuka, anda akan dihidangkan dengan ruang kargo seluas 360 liter sahaja, namun dengan tempat duduk baris kedua yang boleh dilipat (tidak rata), anda boleh mendapatkan ruang sebesar 1,250 liter.

Untuk apa ruang ini?

Jika anda seorang peminat aktiviti luar, terutama di hujung minggu, MINI Cooper S Clubman ini mampu bertukar menjadi sebuah MINI Camper!

Namun, usah harapkan ruang yang luas itu sebenarnya praktikal untuk tujuan itu, memandangkan anda sukar untuk duduk dengan selesa disebabkan rekaan lantai yang agak tinggi.

 


Cara yang selamat, adalah bentangkan alas di bahagian tersebut, dan baring sahaja menghadap pemandangan menarik - seperti contoh menghadap laut, atau sungai, atau apa sahaja tempat menarik yang anda rasakan sesuai.

Ruang belakang Clubman ini juga amat sesuai untuk kegunaan aktiviti hujung minggu, memandangkan terdapat banyak ruangan yang disediakan untuk meletak barang kecil seperti peranti pintar, botol air, dan sebagainya.

Namun, satu perkara yang penulis kurang gemar akan rekaan pintu bi-parting ini adalah titik buta yang jelas kelihatan, terutama ketika dilihat menerusi cermin pandang belakang.

Ini kerana rekaan pintu tersebut sebenarnya mampu menghalang anda daripada mengesan objek di belakang seperti penunggang motosikal dari arah jauh.

Jadi, perlu lebih berhati-hati terutama ketika pemanduan di dalam bandar, atau di lebuhraya.

 

lihat kehadiran 'tiang' yang dimaksudkan oleh penulis


Elemen mewah banyak digunakan pada ruang dalaman MINI Cooper S Clubman ini seperti contoh upholsteri MINI Yours Walknappa Leather Lounge, mofit Union Jack pada perehat kepala, roda stereng balutan kulit Walknappa, sistem infotainmen 6.5 inci, sistem audio Harman Kardon dengan 12 pembesar suara, serta penawaran perkhidmatan MINI Connected, Concierge Service, Apple Carplay, dan MINI Online.

Duduk di dalam MINI ini tidaklah terasa sempit walaupun dimensi luarannya memang nampak kecil, malahan segala butang fungsi mampu dicapai dengan baik, seakan duduk dalam sebuah pesawat pula.

Suasana dalaman kabin ini juga turut dihiasi dengan sistem pencahayaan ambien yang tidak kelihatan langsung ketika siang hari, namun ia muncul dalam warna yang sangat menarik pada waktu malam.

Pandai juga mereka sorok ciri ini ya!

Jadi, adakah model MINI Cooper S Clubman ini sesuai untuk anda?

 


Untuk para peminat MINI yang tidak memerlukan sebuah kereta yang besar, model Clubman yang kami pandu uji ini merupakan salah satu model yang sesuai dan secocok buat anda - kuasa dan prestasi yang senang untuk dikawal, selesa, dan praktikal.

Namun, buat rakyat kebanyakan, anda perlulah memiliki poket yang tidak MINI, ini kerana pada harga RM298,888 ada banyak lagi alternatif yang lebih praktikal boleh didapati khusus untuk mereka yang gemarkan aktiviti hujung minggu.

 

Spesifikasi ringkas:

MINI Cooper S Clubman
Enjin: MINI TwinPower 1,998 cc inline-4, turbo
Kuasa: 192 hp @ 5,000 rpm, 280 Nm @ 1,350 rpm
Transmisi: DCT tujuh kelajuan
Pacuan: roda hadapan
Pecutan: 0-100 km/j 7.2 saat
Penggunaan bahan api: 5.6 liter/100 km
Ruang kargo: 360 liter - 1,250 liter
Keselamatan: ABS, EBD, ESC, Traction Control, rear park distance control, kamera belakang

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kereta tersebut diserahkan kepada Bell atau nama sebenarnya Ngasrizal Ngasri, 43, oleh penyampai…