MINI Cooper 5 Pintu, kekal cara lama, tanpa elektrik!

oleh Muhammad Md Tajudin|
MINI Cooper 5 Pintu
MINI Cooper 5 Pintu
Lega rasanya apabila MINI Cooper baharu didatangkan dalam pelbagai jenis rangkaian kuasa dan kekal dengan lima pintu.

MINI bersikap adil, anda boleh memiliki MINI Cooper elektrik dan enjin pembakaran dalaman (ICE) tanpa perkakasan elektrik.

Jika dikira pelancaran setakat ini, gaya badan pun banyak, tiga pintu, crossover (Countryman) atau crossover kompak (Aceman).

MINI Cooper 5 Pintu untuk mereka yang mahu bawa penumpang tetapi bukan dalam saiz lebih besar seperti saudaranya si Man (Countryman dan Aceman).
MINI Cooper 5 Door 2025

 

Bukan sahaja lebih banyak ruang masuk dan keluar, model terbaru ini untuk pelanggan yang mahu kekal dengan ICE.

Satu yang perlu diketahui, MINI Cooper ICE 3 Pintu yang dilancarkan sebelum ini tidak sama dengan MINI Cooper elektrik kerana menggunakan badan berbeza.

MINI Cooper ICE 3 Pintu menggunakan luaran baharu berbanding badan baharu sepenuhnya untuk si EV.

MINI Cooper 5 Pintu dibekalkan dua jenis enjin, 1.5 liter turbo tiga silinder yang menghasilkan 156 kuasa kuda (hp) dan daya kilas 230Nm.

 

MINI Cooper 5 Door 2025

 

Kelajuan tertinggi mencecah 225 kilometer sejam (km/j). Pelanggan yang mahu lebih kuasa seperti biasa ditawarkan MINI Cooper S.

Enjin 2.0 liter turbo memiliki kuasa 204 hp dan daya kilas 300Nm. Pecutan dari 0 sehingga 100 km/j dalam masa 6.8 saat dan boleh dipecut sehingga 241 km/j.

Dari segi saiz, Mini Cooper 5 Pintu berukuran panjang 4,036 milimeter (mm), lebar 1,744 mm dan tinggi 1,464 atau setara model sebelum ini.

Jarak roda 72 mm lebih panjang dan dibandingkan dengan MINI Cooper 3 Pintu 172 mm lebih panjang.

 

MINI Cooper 5 Door 2025

 

Untuk membawa barangan, MINI Cooper bukan model sesuai dengan muatan 275 liter.

Saiz itu bukan masalah mutlak, kerusi dengan pisahan 60:40 boleh direbah untuk mendapatkan ruang 925 liter.

Satu ciri menonjol pada MINI Cooper ialah skrin besar dan model terbaru menggunakan paparan OLED saiz 24 sentimeter. 

Ruang juga rasa lebih lapang dengan bumbung panoramik.

 

MINI Cooper 5 Door 2025

 

MINI Cooper mempunyai tujuh MINI Experience Mode iaitu Core, Green, Go-Kart, Personal, Vivid, Timeless dan Balance.

Mod tersebut mempunyai latar belakang khusus dan untuk pemandu menetapkan ciri-ciri dalaman dan kereta.

Dari segi pengendalian, bar antigoleng pada gandar memberikan keseimbangan pengendalian badan ketika melalui selekoh dan untuk kejituan dan ketepatan stereng.

Talaan stereng dan sistem kawalan penstabilan pula memberikan pengalaman yang mengasyikkan buat pemandu dalam pelbagai keadaan pemanduan.

 

MINI Cooper 5 Door 2025

 

Ampaian boleh suai (adaptif) dengan sistem redaman frekuensi terpilih ditawarkan untuk pemanduan yang lebih mengasyikkan.

Diameter atau tinggi tayar yang dinaikkan mempertingkatkan keselesaan dan dinamika pemanduan.

Lebar rim pilihan dibesarkan kepada 215 mm bagi menyerlahkan rasa pemanduan go-kart yang tipikal untuk sebuah MINI. Pilihan rim dari saiz 16 inci sehingga 18 inci.

MINI Cooper 5 Pintu dibahagikan kepada tiga varian iaitu Classic, Exclusive dan Sport.

 

MINI Cooper 5 Door 2025

 

Varian Sport istimewa dengan Transmisi Sport dan pedal tukaran gear pada stereng, kemasan luar, rim 18 inci JCW dua tona, angkup brek hitam dan logo JCW.

Papan pemuka menggunakan kemasan hitam merah JCW, stereng balutan kullit tiruan Vescin dengan riasan merah dan kotak simpanan juga dalam riasan dua warna.

Berbeza daripada MINI Cooper elektrik yang dikeluarkan di China, model lima pintu kekal dengan sijil kelahiran dari kilang MINI Oxford, United Kingdom (UK).

Di sana Mini Cooper C dijual pada harga 24,050 pound (RM145,688) dan 28,450 pound (RM172,342) untuk MINI Cooper S.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

MINI Cooper 5 Door 2025