MINI Concept Aceman - crossover elektrik yang ranggi

oleh Mohamad Hanif|
Jenama gaya hidup MINI baru-baru ini memperlihatkan sebuah konsep crossover elektrik yang dinamakan sebagai Aceman yang bakal diposisikan antara model MINI Cooper dan juga MINI Countryman (dari segi saiz).
BHPETROL Euro5 Diesel MREC Banner Campaign Sep 2023

Pasukan pereka menyifatkan rekaan MINI Concept Aceman ini sebagai "kesederhanaan berkarisma" (Charismatic Simplicity) yang menampilkan konfigurasi bentuk dua kotak ringkas yang dipadankan dengan elemen yang atletik.
 

Aceman


Dari segi dimensi, Concept Aceman ini membawakan ukuran sepanjang 4.05 meter, lebar 1.99 meter, tinggi 1.59 meter dengan membawakan rim bersaiz 20 inci secara standard.

Rekaan 'gril' yang kosong di depan itu diserikan dengan sistem iluminasi LED serta gugusan lampu yang boleh memaparkan rekaan yang berbeza.
 

Aceman


Unit lampu utama pula tidak lagi berbentuk bulat (atau bujur), namun unit lampu belakang masih lagi mengekalkan motif bendera Union Jack yang menjadi identiti jenama itu.

Ruang kabin Concept Aceman ini tidak lagi menggunakan bahan kulit, sebaliknya menggandingkan kombinasi bahan yang mampan termasuk velvet velour dan waffle weave serta penggunaan warna yang berani untuk mencipta kedalaman tekstur dan daya tarikan visual yang lebih mengujakan.
 

Aceman


Skrin tengah pula menggunakan unit OLED berbentuk bulat yang menggunakan sistem operasi MINI yang terkini berasaskan Android Open Source Project.

Rekaan papan pemuka pula sengaja dibuat seperti sebuah pembesar suara jenis 'soundbar' dan boleh juga berfungsi sebagai paparan tambahan yang boleh disesuaikan mengikut kehendak pengguna.
 

Aceman


MINI tidak mendedahkan sebarang perincian berhubung trenkuasa yang digunakan pada Concept Aceman, namun versi produksi dijangka akan muncul di dalam barisan penawaran model MINI kelak.