Minat rim aloi? Ini rim gentian karbon 22" terbesar dunia untuk SUV Bentley!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Roda gentian karbon Bentley Bentayga
Roda gentian karbon Bentley Bentayga
Satu dari komponen yang menjadi tarikan dan penentu menyerlah atau tidak sesebuah kereta ialah rim atau roda.

Selain reka bentuk, saiz roda juga penting supaya nampak berkadaran (proportionate) dengan badan kereta.

Nampak pelik apabila saiz roda tidak sepadan dengan kereta atau saiz kereta tidak sepadan dengan roda.

Ia bagaimanapun tidak menjadi masalah, jika kurang minat, lawati sahaja kedai aksesori untuk memilih saiz dan reka bentuk yang berkenan.

Untuk kebanyakan kereta pastilah memilih roda yang diperbuat daripada aloi. Namun begitu ada sejumlah kecil kenderaan yang menggunakan gentian karbon

Pemilihan itu dibuat disebabkan prestasi dan mengurangkan berat badan kereta atau motosikal.
Bentley Bentayga

 

Berapa saiz roda gentian karbon terbesar di dunia sekarang ini? 22 inci dan menariknya ia bukan untuk kereta super atau hiper tetapi SUV Bentley Bentayga.

Membangunkan roda aloi ini tidak mudah dan selepas bertahun akhirnya roda gentian karbon ini ditawarkan untuk pengguna.

Roda 22 inci Mulliner ini dibangunkan bersama Bucci Components daripada Itali dan satu daripada peneraju pembekal komposit di dunia.

Roda gentian karbon ini paling besar di dunia dengan penjimatan enam kilogram berat tak berpegas (unsprung) untuk seunit roda.

 

Roda gentian karbon Bentley Bentayga

 

Cuma satu kerisauan apabila bercakap tentang roda gentian karbon ialah sejauh mana kekuatannya?

Sebagai jaminan, roda gentian karbon ini telah mematuhi standard ketat TÜV (Technischer Überwachungsverei - Technical Inspection Association) dan roda gentian pertama yang telah lulus kesemua ujian.

Berikut penilaian yang dibuat mengikut standard baharu TÜV:

  • Tekanan dwipaksi (biaxial stress),
  • Radial dan impak lateral untuk simulasi lopak jalan dan batuan (cobblestones).
  • Tayar terlebih tekanan udara
  • Daya kilas (tork) yang tinggi atau berlebihan melepasi had yang dibenarkan.

Satu daripada ujian TÜV paling berat ialah membabitkan impak atau hentakan.

Menariknya roda aloi akan merekah atau hancur dan menyebabkan tayar meletup namun lain pula hasilnya untuk roda gentian.

 

Roda gentian karbon Bentley Bentayga

 

Apa yang berlaku ialah, tayar akan kempis secara perlahan dan membantu kereta dihentikan secara terkawal dan selamat. 

Ciri ini adalah hasil dari teknik pembuatan roda gentian karbon iaitu perlapisan atau tenunan yang pintar oleh pengeluarnya.

Selepas set ujian tersebut dan paling akhir, roda gentian karbon ini dinilai di salah satu litar paling popular di dunia, atau mana lagi jika bukan di Nürburgring?

Berikut pula ialah faedah teknologi roda komposit:

Selain mengurangkan berat secara ketara, ada lagi faedah gentian karbon iaitu kadar kekuatan dan ketegaran yang lebih tinggi.

  • Meningkatkan keselamatan - Apabila roda terkena hentakan kuat, bebenang jalinan (tenunan) gentian karbon akan terurai dan tayar kempis secara perlahan. Ciri ini berbeza dengan roda aluminium.
  • Stereng lebih tangkas - Seunit roda ini jimat enam kilogram dan ciri ketegaran tinggi menjadikan stereng lebih stabil. 
  • Brek lebih baik dan responsif hasil daripada pengurangan berat tak berpegas (unsprung).
  • Kadar kehausan bunga yang berkurang - Memandangkan roda gentian tidak membengkok (bending) seperti roda aloi, tayar menjadi lebih stabil dan lekatan dengan jalan (contact patch) lebih konsisten.

 

Roda gentian karbon Bentley Bentayga.01

 

Berikut ialah proses pengeluaran roda gentian karbon Bentley:

  • Satu daripada inovasi utama roda ialah kaedah pembuatannya (telah dipaten) yang menggunakan kombinasi RTM (Resin Transfer Moulding) bertekanan tinggi.
  • Parameter bahan dan pengeluaran dikaji dengan mendalam supaya roda ini didapat dihasilkan secara berulang tanpa menjejaskan kualitinya.
  • Proses pembuatan melibatkan pemotongan gentian karbon mengikut bentuk yang ditetapkan.
  • Lapisan tenunan disusun, dipanaskan dan diselaputi pada acuan bagi menghasilkan prabentuk dalam tiga dimensi. 
  • Prabentuk itu disusun ke dalam acuan lebih besar sebelum resin dan pengeras disuntik.
  • Selepas proses pengerasan bersuhu, roda itu dikeluarkan dari acuan dan permukaan akhir diperkemas dan digilapkan. 

 

Bentley Bentayga

 

Walaupun Bentayga adalah SUV, Bentley tetap memberi perhatian sebagai sebuah model yang mempunyai pelanggan dan citarasa tersendiri.

Roda gentian karbon 22 inci ini sebenarnya satu daripada pakej gentian karbon dan Bentayga ditawarkan dalam pakej Styling Specification.

Varian itu dilengkapi splitter gentian karbon, penambah ambang pintu dan diffuser belakang. Turut ditawarkan ialah kemasan gentian karbon kilatan tinggi pada bahagian dalaman. 

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
Versi Mulliner ini tampil dengan beberapa kemasan menarik, seperti contoh gril hadapan dengan…
Berita Global
Permainan orang ada-ada biasanya tidak terhenti setakat memiliki kereta mewah. Ia lebih daripada…