Pihak Milivié Design baru-baru ini mengumumkan penawaran model klasik Volkswagen Beetle yang telah direstorasi yang mengekalkan bentuk asal Beetle yang ikonik itu.
Hanya 22 unit sahaja unit Milivié 1 yang akan dihasilkan, dan berdasarkan gambar yang dibekalkan pihak Milivié Design menggunakan pendekatan yang lebih bersifat minimalis terhadap rekaan asal.
Ia dimulakan dengan rekaan hidung yang mengingatkan kita kepada Porsche 365, rekaan lampu nyalaan siang LED mengikut bentuk lampu asal sebelum ditambah dengan unit lampu yang lebih dekat dengan bahagian bampar.
Rekaan lampu belakang juga turut diringkaskan, diikuti dengan pemasangan spoiler ekor itik pada bahagian pelindung enjin.
Sebut pasal enjin, projek restomod Milivié 1 ini akan menggunakan enjin boxer 2.28 liter sejukan udara yang dipadankan dengan sepasang karburetor Weber dan sistem penyalaan elektronik, transmisi automatik ZF 4HP empat kelajuan, serta penawaran tiga mod iaitu Drive, Sports, dan Manual.
Rekaan yang minimalis turut ditampilkan pada ruang kabin di mana ia menempatkan skrin kluster instrumen dan skrin infotainmen di dalam satu panel tunggal, serta ciri seperti pengecasan peranti pintar tanpa wayar, USB dan juga USB-C.
Untuk membina Milivié 1, pihak syarikat akan menggunakan kereta derma daripada model VW Beetle 1303 yang muncul era 70-an di mana ia mempunyai dimensi yang lebih besar berbanding Beetle yang asal.
Untuk keselesaan pemanduan, keempat-empat sudut akan dipasangkan dengan sistem suspensi jenis double-wishbone, diikuti dengan sistem brek cakera depan dan belakang.
Sebanyak 22 unit sahaja yang akan dihasilkan sebagai satu penghormatan buat angka produksi keseluruhan Beetle sebanyak 22 juta unit.
Harga jualan bermula dari €570,000 (RM2,640,275).