'Microsleep' sumbang 20 peratus kemalangan jalan raya, termasuk kematian setiap tahun

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Sindrom tertidur seketika semasa memandu atau microsleep, menjadi antara penyumbang utama statistik kemalangan jalan raya di negara ini, dengan kira-kira 20 peratus kes termasuk kematian dilaporkan setiap tahun.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Madya Dr Siti Zaharah Ishak, berkata microsleep berlaku akibat keletihan dan kelesuan, selain dipengaruhi jam biologi tubuh, khususnya ketika musim perayaan yang membabitkan perjalanan jauh, tempoh pemanduan terlalu lama serta perubahan corak pemanduan.

"Microsleep berlaku apabila kita memandu dalam keadaan tanpa sedar untuk seketika.

"Kadang-kadang, kita kenal pasti juga pemandu yang mengalami microsleep dalam keadaan mata terbuka tetapi dalam keadaan tidak sedar antara dua hingga 10 saat," katanya pada program Apa Khabar Malaysia bertajuk 'Microsleep - Urus Keletihan, Kurangkan Kemalangan' di Bernama TV, pada Jumaat.

Siti Zaharah berkata, risiko kemalangan meningkat ketara pada musim perayaan susulan pertembungan dengan cuti sekolah di mana unjuran Lembaga Lebuhraya Malaysia menunjukkan terdapat lebih dua juta kenderaan bergerak di lebuh raya sepanjang tempoh itu.

Beliau berkata, antara simptom awal gejala microsleep ialah pemandu kerap mengubah posisi duduk serta momentum kelajuan kenderaan yang tidak konsisten, sekali gus menuntut mereka mendapatkan rehat yang cukup, merancang masa perjalanan menggunakan aplikasi dan berhenti sekiranya mengantuk.

"Secara purata, manusia memerlukan tujuh jam tidur bagi memastikan badan benar-benar segar, namun kualiti tidur lebih penting berbanding tempohnya.

"Sekiranya mengantuk ketika memandu, pemandu dinasihatkan berhenti serta berehat di Kawasan Rehat dan Rawat di sepanjang lebuh raya," katanya.

Selain itu, beliau juga menyarankan pemandu membuka tingkap seketika bagi mendapatkan udara segar, berinteraksi dengan kenderaan lain seperti menyalakan lampu tinggi atau membunyikan hon sekiranya mengalami keletihan, yang juga boleh membantu menyedarkan pemandu lain yang mungkin berdepan gejala sama.

Katanya, MIROS menjalankan penilaian teknologi kenderaan, termasuk mengenal pasti Sistem Bantuan Pemandu Termaju, pada kenderaan baharu yang dilengkapi amaran keluar lorong serta sistem brek kecemasan automatik bagi meningkatkan tahap keselamatan dan mengubah tingkah laku pemanduan.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Dalam kemalangan kira-kira jam 2 petang itu, Mohd Shahrol Anuar Md Roby, 44, meninggal dunia di…
Berita Domestik
"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati pemandu bas itu hilang kawalan kerana mengantuk (micro…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit, berkata dalam kejadian kira-kira 2.40…