Dari segi spesifikasi, MICHELIN x Bamford B347 Pilot Sport adalah jam kronograf satu butang automatik dengan badan 41.5 mm dari forged carbon dan 'nadi' automatik Sellita SW510.
Butang larasan dipasang pada sudut pukul 2 dengan fungsi mula-henti-set semula seperti kereta.
Takimeter pula menggunakan corak berkotak seperti bendera mula dan tamat perlumbaan.
Warna signatur kuning Michelin diriasi pada jarum saat manakala kombinasi warna hitam dan putih diguna pada jarum jam dan minit.
Satu lagi perincian menarik ialah dua lingkaran kecil (sub dial) dibuat selari dengan kempen terbaru Michelin yang menunjukkan tayar berwarna putih dan satu ketika dahulu ianya memang berwarna putih.
Reka bentuk jam ini memang sudah menarik dan lebih menonjol apabila tali dibuat dari tayar ujian MICHELIN Pilot Sport 5 yang dikitar semula!.
Bahan ini diperoleh dari pusat penyelidikan dan pembangunan Michelin di Ladoux, Perancis.
Menjadikannya realiti ialah syarikat Greenology yang merupakan pakar dalam bidang kitaran hayat tayar.
Aspek perincian dan identiti tali jam boleh dilihat pada corak bunga tayar yang diambil dari model Pilot Sport 5 atau secara khususnya tayar 225/40 ZR18 (92Y).
Saiz tayar ini digunakan pada sejumlah model seperti BMW E36, E46 M3, Lotus Evora, 3-Eleven, Morgan Aero 8, dan beberapa model VW Golf GTI.
Satu lagi identiti ialah logo warisan Bibendum (maskot) MICHELIN dengan gaya pemenang perlumbaan pada bahagian belakang dan kotak jam.
Bagaimana pula dengan harga? Hanya £2,500 atau bersamaan RM13,454 dan boleh dibeli dari laman web Bamford London.
Penulis: Muhammad Md Tajudin