Michelin jemput gamer handalan untuk bersaing di Piala Asia Michelin

oleh Mohamad Hanif|
Michelin menjemput para peminat permainan video lumba kereta untuk merebut peluang mewakili Malaysia di Piala Asia Michelin Dikuasakan oleh Gran Turismo.

Acara tahunan ini akan menyaksikan gamer dari Malaysia bertempur dengan peserta-peserta dari negara lain seperti Thailand, Indonesia dan juga Australia.

Piala Asia Michelin menggunakan platform Gran Turismo di konsol PlayStation 4, dan setiap peserta perlu menghantar catatan masa terbaik mereka dalam pusingan kelayakan dari 11-15 Julai 2022.

Enam peserta dengan catatan masa terbaik akan diumumkan pada 20 Julai 2022 untuk mewakili Malaysia dalam pusingan Separuh Akhir.

Dalam pusingan tersebut, sejumlah 24 peserta (enam pemain dari setiap negara) akan dibahagikan kepada dua kumpulan, di mana enam pemain terpantas daripada pusingan ini akan mara ke pusingan Akhir yang disiarkan secara langsung pada 26 Ogos 2022 (8 malam) menerusi akaun media sosial rasmi Michelin Malaysia.

Hadiah utam berupa pakej perjalanan ke Michelin Passion Experience (MPE) di Litar Yas Marina, Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu yang ditanggung sepenuhnya oleh Michelin, sementara naib johan membawa pulang set tayar berjenama Michelin dan pemenang tempat ketiga pula akan mendapat kad baucar bahan api bernilai lebih RM1,500.

Pendaftaran pusingan kelayakan dibuka mulai semalam (29 Jun) hingga 8 Julai 2022 dan setiap seorang daripada 500 peserta pertama akan membawa pulang barangan eksklusif daripada Michelin.