Majlis “line-off” tersebut berlangsung di fasiliti pemasangan PEPS-JV di Alor Gajah, Melaka, menandakan permulaan operasi pemasangan tempatan untuk kenderaan MG di Malaysia. Acara itu turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama beberapa pemimpin negeri serta wakil industri automotif termasuk pihak pengurusan SAIC Motor Malaysia dan EP Manufacturing Berhad (EPMB).

Langkah Penting Strategi Lokalisasi MG
Langkah ini merupakan fasa seterusnya dalam strategi lokalisasi SAIC Motor Malaysia selepas syarikat itu mengumumkan kerjasama pemasangan tempatan dengan EP Manufacturing Berhad pada Oktober 2025.

Menurut Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, Emory Qi, pengeluaran tempatan MG S5 EV membuktikan komitmen jangka panjang jenama itu untuk memperkukuh peranan Malaysia dalam ekosistem kenderaan elektrik serantau.
Dengan pemasangan tempatan, MG dapat mendekatkan produknya kepada pengguna Malaysia selain menyokong vendor tempatan dan memperkukuh rantaian bekalan automotif negara.
Kuasa Lebih Tinggi Berbanding Model Import
MG S5 EV dibina menggunakan platform elektrik pacuan roda belakang (rear-wheel-drive EV platform) yang direka khas untuk menawarkan prestasi pemanduan lebih dinamik serta praktikal untuk kegunaan harian.

Berbanding model import sepenuhnya (CBU) sebelum ini, versi CKD menerima peningkatan kuasa kepada 151kW berbanding 125kW sebelum ini. Tork turut meningkat kepada 350Nm, memberikan pecutan yang lebih responsif serta pengalaman pemanduan yang lebih bertenaga.
Pengecasan Pantas 150kW, 10–80% Dalam 26 Minit
Dari segi pengecasan, MG S5 EV menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150kW, membolehkan bateri dicas dari 10% ke 80% dalam kira-kira 26 minit dalam keadaan optimum.
Bateri kenderaan ini juga menggunakan reka bentuk ultra nipis secara mendatar, yang membantu menurunkan pusat graviti, meningkatkan kestabilan kenderaan serta memberikan lebih ruang dalam kabin.

Varian LUX Dengan Ciri Premium
Varian MG S5 EV LUX hadir dengan beberapa ciri tambahan premium seperti tempat duduk leatherette penuh, tempat duduk hadapan dengan ventilasi, pelarasan kuasa untuk kerusi penumpang hadapan serta tailgate kuasa hands-free.

Dari segi jarak pemanduan, MG S5 EV mampu bergerak sehingga 446km berdasarkan kitaran WLTP, menjadikannya sesuai untuk penggunaan harian mahupun perjalanan jarak jauh.


Keselamatan Lima Bintang Euro NCAP dan ASEAN NCAP
Aspek keselamatan turut diberi perhatian dengan tujuh beg udara serta sistem bantuan pemandu termaju ADAS 2.5 yang merangkumi fungsi seperti Traffic Jam Assist dan Intelligent Cruise Control.
Model ini juga telah menerima penarafan keselamatan lima bintang daripada Euro NCAP dan ASEAN NCAP, selari dengan standard keselamatan global MG.

Waranti EV Sehingga 8 Tahun
Bagi memberi ketenangan kepada pemilik EV, MG menawarkan waranti bateri selama 8 tahun atau 180,000km, manakala unit kawalan motor dilindungi waranti 8 tahun atau 160,000km.





Pengeluaran Di Melaka Capai 2,000 Unit Setahun
Fasiliti Pegoh di Melaka bukan sahaja mampu memasang kenderaan elektrik sepenuhnya (BEV), malah juga menyokong pemasangan kenderaan hibrid (HEV) serta enjin pembakaran dalaman (ICE).
Pengeluaran MG S5 EV dijangka mencapai antara 120 hingga 180 unit sebulan dengan anggaran pengeluaran tahunan sekitar 1,500 hingga 2,000 unit pada tahun 2026.
Selain pemasangan kenderaan, projek ini turut dijangka membuka peluang pekerjaan, memindahkan teknologi kepada industri tempatan serta mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri automotif ASEAN.
Harga Anggaran RM120,000, Tempahan Dibuka
Tempahan untuk MG S5 EV dibuka bermula 10 Mac 2026 dengan anggaran harga sekitar RM120,000. Harga rasmi akan diumumkan semasa pelancaran rasmi model tersebut dalam masa terdekat.

Bagi meraikan permulaan pengeluaran tempatan, MG Motor Malaysia turut menawarkan pakej Early Bird bernilai sehingga RM10,000 yang merangkumi rebat RM7,000, pengecas wallbox 7kW bernilai RM2,000 serta kredit pengecasan sebanyak RM1,000.