Penarafan ASEAN NCAP diumumkan sempena International Conference on Safety and Holistic Innovation for Future Vehicles (SHIFT 2025) yang diadakan di Bangi Resort Hotel. Acara tersebut dianjurkan bersama oleh ASEAN NCAP dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), sebagai platform utama yang menghubungkan dunia akademik dan industri bagi memperkukuh standard keselamatan kenderaan di rantau ASEAN.

Menurut Emory QiFeng, Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, “Kami berasa amat berbesar hati menerima penarafan 5 Bintang ASEAN NCAP untuk MG MGS5 EV. Pengiktirafan ini membuktikan komitmen kami terhadap keselamatan dan kualiti. Ketika kami bersiap menuju fasa pemasangan tempatan, pencapaian ini memperkukuh tekad kami untuk membawa kenderaan yang memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa ke jalan raya Malaysia.”
Prestasi Cemerlang Dalam Semua Ujian Keselamatan
Berdasarkan laporan rasmi ASEAN NCAP, MG MGS5 EV memperoleh skor keseluruhan 92.39 mata daripada empat kategori penilaian meliputi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), Perlindungan Kanak-kanak (COP), Teknologi Bantuan Keselamatan (Safety Assist) dan Keselamatan Penunggang Motosikal (Motorcyclist Safety).

Dalam ujian hentaman hadapan, ruang kabin SUV ini kekal stabil dengan perlindungan baik untuk penumpang dan pemandu. Model ini dilengkapi dengan 6 beg udara, Electronic Stability Control (ESC), Anti-lock Braking System (ABS) serta Seatbelt Reminder System (SBR) untuk semua penumpang.
Selain itu, teknologi Autonomous Emergency Braking (AEB) untuk bandar, luar bandar dan pejalan kaki turut diuji berfungsi dengan baik mengikut piawaian ASEAN NCAP. MGS5 EV juga dilengkapi sistem Lane Departure Warning (LDW), Forward Collision Warning (FCW), Lane Keep Assist (LKA), Blind Spot Detection (BSD) di kedua-dua sisi, Auto High Beam (AHB), Pedestrian Protection (PP) serta AEB untuk motosikal sebagai kelengkapan standard.

Untuk pasaran Malaysia dan Singapura, model ini turut hadir dengan Center Airbag, memberikan lapisan perlindungan tambahan kepada penumpang di tempat duduk hadapan.

Tentang MG dan SAIC Motor Malaysia
Jenama MG (Morris Garages) telah ditubuhkan sejak tahun 1924 dan kini meneruskan legasi British dengan teknologi moden dari China di bawah naungan SAIC Motor, antara pengeluar automotif terbesar dunia. Di Malaysia, SAIC Motor Malaysia Sdn Bhd bertanggungjawab terhadap pengedaran, jualan, pemasaran dan perkhidmatan selepas jualan model MG.
