Meredah banjir - cara dan risikonya

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sekarang ini musim hujan dan penulis sendiri sudah beberapa kali terpaksa meredah air banjir ketika berjalan di kawasan Pantai Timur.

Di Kuala Lumpur, banjir kilat sering terjadi dan ia boleh menjadi lebih merbahaya dari banjir biasa kerana banjir kilat mampu datang dengan sekelip mata sahaja.

Umumnya, Careta tidak menggalakkan pengguna kenderaan untuk meredah banjir. Ini ialah kerana risiko yang tinggi serta kenderaan modern sekarang sarat dengan alatan elektronik yang bencikan kelembapan.

Namun begitu, sekiranya terpaksa, di bawah ialah beberapa petua yang anda boleh gunakan.

 

 

1. Pastikan kedalaman air banjir

  • Ini adalah perkara paling asas. 
  • Cara terbaik ialah tunggu kenderaan lain meredah kawasan banjir dan anggarkan kedalaman kawasan tersebut.
  • Jika tidak, dan sekiranya air tidak mengalir deras, anda boleh cuba redah dengan berjalan kaki (air sedalam 15 cm tetapi mengalir dengan amat deras sudah cukup untuk menjatuhkan anda ya).
  • Jika ia adalah jalan perumahan atau di kawasan bandar, cari kayu panjang dan cuba "rasa" jika ada penutup lubang pembentungan yang sudah terbuka kerana hujan.
  • Pastikan di mana lokasi liang kemasukan udara (air intake) untuk enjin kenderaan anda. 
  • Jika air disedut masuk, masalah "hydrolock" boleh berlaku di mana enjin anda akan menghasilkan bunyi yang sangat menyayat jiwa sebelum ia terus diam selama-lamanya. 


 

 

2. Jangan redah air deras

  • Walaupun anda tahu kereta anda berat, jangan dipandang remeh kekuatan air deras.
  • Kebanyakan kes kematian akibat lemas di dunia ini berlaku cuma 3 meter dari tempat selamat dan dua pertiga dari yang mati itu adalah perenang yang baik.
  • Sebanyak 32 peratus kematian banjir pula berlaku ketika mangsa terperangkap di dalam kenderaan.
  • Air sedalam 60 cm sudah cukup untuk membuatkan kereta kecil timbul, dan air sedalam 30 cm sudah boleh mengalihkan kedudukan kenderaan.
  • Jika air terlalu deras, tunggu sahaja. Ia lebih selamat dari kerugian harta benda atau paling teruk, mengakibatkan kematian.

 

 

3. Pandu dengan perlahan

  • Jika anda terpaksa juga meredah air banjir itu, pandu dengan perlahan, tetapi jangan terlalu perlahan kerana "bow wave" atau ombak haluan yang terjadi di hadapan itu mencipta satu ruang vakum dan mencegah air dari menghampiri kawasan liang kemasukan udara.
  • Jika anda terlalu laju, anda akan menyebabkan ombak haluan yang besar. Ini bukan sahaja merbahaya untuk kenderaan lain di sekitar anda, tetapi ombak itu yang akan menyebabkan air masuk dan memecahkan tingkap bangunan.
  • Untuk yang menggunakan bodykit, di sini kita boleh lihat mutu pemasangan bodykit anda. Sebaiknya, tak perlu redah jika sudah ada bodykit dan sistem gantungan direndahkan.

 

 

4. Guna gear rendah

  • Kebanyakan kereta sekarang menggunakan gear automatik.  
  • Anda boleh gunakan gunakan fungsi L atau D tanpa sebarang masalah, cuma pastikan pendikit ditekan sekata (jangan sekejap laju, sekejap perlahan).
  • Untuk kereta dengan transmisi manual, guna gear satu dan teruskan memandu dengan kelajuan sekata.
  • Gear satu membenarkan RPM yang lebih tinggi dan mengurangkan kemungkinan anda menukar gear di dalam air atau enjin mati.
  • Ini ialah kerana jika muncung paip ekzos berada di dalam air, ada kemungkinan air disedut sedikit membuatkan enjin akan mati dan sukar untuk dihidupkan.

 

 

5. Bagus ke ikut orang hadapan dengan dekat ketika meredah air?

  • Walaupun ramai percaya ia bagus, pakar-pakar berkata ini adalah satu perbuatan yang merbahaya. 
  • Air tidak akan menjadi lebih rendah jika anda mengikut rapat kenderaan di hadapan. 
  • Malah, anda akan mengambil risiko kenderaan anda secara tiba-tiba hanyut kerana ombak air mengangkat kenderaan anda dari bahagian belakang.
  • Ini sudah beberapa kali terjadi apabila kenderaan kecil cuba mengekor lori ketika meredah banjir.
  • Satu lagi risiko ialah sekiranya kereta hadapan tersangkut, anda juga akan sangkut. 

 

 

6. Selamat meredah? Uji brek anda

  • Selepas meredah air, jangan memandu laju kerana brek anda perlu sedikit masa untuk kering.
  • Bawa perlahan dan tekan brek beberapa kali untuk mengeringkan kawasan antara cakera/dram dan pelapik brek.

 

 

7. Periksa minyak enjin dan kotak gear depan belakang.

  • Bila anda tiba di rumah, periksa minyak enjin dengan cara menggunakan dipstick.
  • Jika minyak enjin kelihatan seperti dicampur dengan susu sedikit, ini bermakna air sudah masuk ke dalam enjin.
  • Buka kotak udara dan periksa penapis. Jika basah, ini bermakna air sudah masuk.
  • Jangan hidupkan enjin. Telefon trak penunda dan bawa ke pusat servis. Cara yang betul mampu menyelamatkan anda dari bil yang tinggi.
  • Untuk kenderaan pacuan roda belakang atau 4X4, jika gandar belakang terendam lama di dalam air, hantar ke pusat servis dan periksa minyak differential di belakang. 
  • Kemasukan air pada "rear-diff" sebenarnya ering berlaku tetapi tidak diketahui oleh pemilik sehinggalah masalah timbul.

 

 

8. Periksa bawah karpet dan kawasan tayar simpanan

  • Buka karpet lantai dan periksa. Kadang-kadang, air boleh masuk dari "plug hole" di lantai. 
  • Jika basah, keringkan sebelum kereta anda berbau kepam seperti stokin lembab budak asrama.
  • Ruang tayar simpanan di dalam tempat letak barang kereta juga perlu diisi agar ia tidak menjadi tempat menternak haiwan.

 

 

Jika anda baca betul betul, memang kebanyakan nasihat yang diberi seolah-olah tidak membenarkan anda memandu meredah banjir.

Ini ialah kerana keadaan banjir adalah subjektif dan anda tidak boleh mengikut nasihat bertulis seperti sebatang pembaris.

Dalam masa yang sama, keberanian yang tidak cukup "haul" juga boleh menyebabkan anda kerugian beribu-ribu RM.

Tepuk dada tanya selera. 

Jangan kita bawa keluarga meredah banjir tanpa kita pasti apa risikonya.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Jurucakap lapangan terbang itu memaklumkan kejadian ribut yang luar biasa menyebabkan operasi di…
Informasi
Sejarah sebalik jambatan ini adalah ia hasil inovasi seorang jurutera tentera British semasa Perang…
Berita Domestik
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, rakyat cukup sengsara…