Mercedes nafi akan guna enjin BMW

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Selepas timbul spekulasi bahawa Mercedes-Benz bakal menggunakan enjin daripada BMW, kini ia telah dinafikan secara rasmi.

Markus Schaefer, Ketua Pegawai Teknologi dan Ahli Lembaga Pengurusan Mercedes-Benz Group, menegaskan bahawa syarikat itu tidak berhasrat menggunakan enjin luar, lebih-lebih lagi daripada pesaing rapat seperti BMW.

Khabar angin yang tersebar sejak Ogos lalu mendakwa kedua-dua gergasi Jerman itu sedang dalam perbincangan untuk membekalkan enjin B48 2.0 liter turbo milik BMW bagi model-model Mercedes akan datang, khususnya model kompak dan varian PHEV C-Class serta E-Class. 

 

2

 

Tujuannya dikatakan untuk mengurangkan kos pembangunan dan memastikan pematuhan piawaian pelepasan Euro 7 yang bakal berkuat kuasa.

Namun, di pameran IAA Mobility Show Munich, Schaefer menutup terus spekulasi tersebut, beliau berkata, "Tiada kebenaran tentang perkara ini."

"Kami telah membangunkan rangkaian enjin modular kami sendiri, FAME (Family of Modular Engines), yang meliputi semua sesaran enjin, dan kesemuanya sudah pun mematuhi piawaian EU7, China 7 dan juga peraturan di Amerika Syarikat.”

 

3

 

Platform FAME, yang diperkenalkan hampir empat tahun lalu, merangkumi enjin empat, enam, lapan dan dua belas silinder yang direka untuk kekal relevan meskipun industri semakin bergerak ke arah elektrifikasi. 

Malah, Schaefer turut mengesahkan bahawa enjin V8 generasi baharu sedang disiapkan, sepenuhnya mematuhi piawaian emisi paling ketat, manakala enjin V12 akan terus menjadi sebahagian daripada barisan model Mercedes.

“Kami akan terus menawarkan enjin V12 dan juga V8. Kami memiliki rangkaian enjin pembakaran dalaman yang lengkap, dibangunkan sepenuhnya secara dalaman, dan sudah bersedia untuk masa depan,” jelas Schaefer.

 

4

 

Ada juga khabar angin bahawa bermula 2027, Mercedes akan menggantikan enjin kecilnya termasuk enjin 1.5 liter turbo yang dibangunkan bersama Geely di bawah usaha sama Horse dan unit enjin 2.0 liter BMW. 

Tetapi dakwaan itu tidak pernah disahkan oleh Stuttgart mahupun Munich dan kini, dengan kenyataan rasmi daripada Schaefer, jelas bahawa Mercedes tidak akan menggunakan enjin pembakaran dalaman jenama lain, apatah lagi daripada pesaing utama.

Penafian ini hadir pada saat penting, ketika Mercedes mempercepatkan strategi elektrifikasinya tanpa meninggalkan terus enjin pembakaran dalaman. 

 

5

 

Contoh nyata dapat dilihat pada Mercedes GLC baharu, yang akan ditawarkan dalam versi elektrik pada harga setanding dengan model enjin petrolnya.

Ini menunjukkan satu tanda perubahan besar dalam keseimbangan antara teknologi EV dan ICE, apa yang pasti, identiti enjin Mercedes akan kekal sepenuhnya “Made in Stuttgart.”

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Rekaan Dan Inovasi Keselamatan     Siri 123 banyak menampilkan elemen konsep dan gaya daripada S…
Berita Global
Berbeza dengan trend industri sebelum ini yang gemar menggunakan gam kekal, pendekatan baharu ini…
Berita Global
Perjalanan panjang bermula sejak 1997 Gordon Wagener menyertai Mercedes-Benz pada 1997 dan antara…