Lebih 100 Tahun Inovasi dan Seni Pembuatan Tertinggi
Sejak 1920-an, nama Maybach sudah dikenali sebagai lambang teknologi canggih, keanggunan dan rekaan tempahan khas.
Falsafah pengasasnya, Wilhelm dan Karl Maybach, iaitu “Creating only the best from the best, of lasting value, in the highest form of perfection” kekal menjadi panduan dalam menghasilkan karya automotif sehingga hari ini.
Antara pencapaian terawal ialah Maybach Zeppelin, yang menggunakan enjin V12 bersesaran 7 hingga 8 liter dengan kuasa sehingga 200 hp.
Ia mampu mencecah kelajuan 170 km/j dan satu pencapaian luar biasa pada era 1930-an.
Zeppelin digambarkan sebagai kenderaan impian yang memenuhi segala keinginan dengan karakter elegan dan kuasa yang mengagumkan
Mercedes-Maybach V12 Edition: Legasi yang Diteruskan
Mewarisi sejarah tersebut, Mercedes-Maybach S-Class hari ini terus menjadi penanda aras kemewahan automotif.
V12 Edition diasaskan dari Mercedes-Maybach S 680 yang dilengkapi hampir sepenuhnya dengan teknologi dan ciri kemewahan yang ditawarkan untuk model itu.
Antara kelengkapan utama termasuk:
- Pintu belakang berkuasa elektrik untuk keselesaan penuh.
- Active Road Noise Compensation bagi kabin yang lebih senyap.
- Stereng gandar belakang serta E-ACTIVE BODY CONTROL untuk keselesaan tunggangan.
- Sistem MBUX generasi baharu dengan paparan sehingga lima skrin besar, termasuk teknologi OLED.
Namun, keistimewaan sebenar edisi ini masih terletak pada jantung mekanikalnya.
Enjin V12 5,980cc menghasilkan 612 hp dan 900Nm tork. Ia mampu memecut dari sifar ke 100 km/j dalam hanya 4.5 saat, dengan kelajuan maksimum dihadkan pada 250 km/j.
Seni Pembuatan MANUFAKTUR
Edisi ini menonjolkan seni pembuatan eksklusif melalui MANUFAKTUR.
Bahagian luaran tampil dengan warna dua tona iaitu MANUFAKTUR olive metallic di bahagian atas dan obsidian black metallic di bahagian bawah bersama jalur halus hightech silver metallic.
Proses mengecat ini sahaja mengambil masa sehingga 10 hari, iaitu dua kali ganda daripada kerja cat dua tona biasa Maybach.
Rekaan dilengkapkan rim dalam warna olive metallic serta lencana khas pada tiang C.
Lencana itu menggabungkan logo Maybach bersama medal emas 24 karat dengan ukiran angka 12, diinspirasikan daripada hiasan bonet Maybach Zeppelin DS 8.
Bahagian dalaman pula menggunakan kulit Nappa warna saddle brown bersama kemasan kayu brown burr walnut berkilat tinggi, termasuk pada stereng yang dihasilkan secara manual.
Hiasan bumbung dengan jahitan berlian, sulaman edisi khas serta plak 1 of 50 di konsol tengah menyerlahkan status eksklusif.
Pelanggan turut menerima aksesori tempahan khas seperti:
- Alas but dengan kemasan warna dalaman.
- Kotak kunci buatan tangan dari MANUFAKTUR di Sindelfingen.
- Cincin kunci khusus.
Edisi Terhad untuk Pasaran Terpilih
Mercedes-Maybach V12 Edition hanya akan ditawarkan di pasaran tertentu dan penghantaran pertama dijadualkan bermula musim luruh (September – November) 2025.
Dengan produksi yang dihadkan kepada 50 unit, ia bukan sekadar sebuah kenderaan, tetapi sebuah karya seni bergerak yang memperkukuhkan lagi legasi Maybach sebagai simbol kemewahan, kuasa dan seni pembuatan automotif tertinggi.
Spesifikasi Utama Mercedes-Maybach S 680
- Enjin: V12, 5,980cc
- Kuasa Maksimum: 612 hp @ 5,250–5,500 rpm
- Tork Maksimum: 900 Nm @ 2,000–4,000 rpm
- Pacuan: 4MATIC pacuan semua roda berubah suai
- Transmisi: 9G-TRONIC automatik
- Dimensi (P x L x T): 5,469 x 1,921 x 1,510 mm
- Jarak Roda: 3,396 mm
- Pecutan 0–100 km/j: 4.5 saat
- Kelajuan Maksimum: 250 km/j (dihadkan)
- Ruang But: 495 liter
- Berat Bersih: 2,365 kg
- Penggunaan Bahan Api: 14.2–13.2 l/100 km (WLTP)
Penulis: Muhammad Md Tajudin