Mercedes G-Wagon elektrik kini rasmi di Malaysia - 473KM WLTP, dari RM958,888

oleh Firdaus Razani|
Mercedes-Benz G 580 EQ Edition One
Mercedes-Benz Malaysia secara rasmi melancarkan model ikonik terbaharunya yang kini beralih ke era elektrifikasi, Mercedes-Benz G 580 EQ.

Merupakan lambang perpaduan antara warisan dan inovasi, G-Class generasi baharu ini mengekalkan keaslian rekaan klasik sambil memperkenalkan teknologi pacuan elektrik terkini untuk prestasi luar jalan yang tiada tandingan.

G 580 merupakan model pengeluaran massa pertama Mercedes-Benz yang dilengkapi sistem pacuan empat motor bebas (individual-wheel drive). Setiap motor menghasilkan kuasa 145HP dengan jumlah keseluruhan 587HP dan 1,164 Nm tork dan mempunyai daya pecutan 0-100 km/j dalam 4.7 saat dan kelajuan maksimum 180 km/j.

Prestasi tersebut menandingi keupayaan model konvensional, terutamanya ketika mendaki curam atau menempuh permukaan longgar.

 

Mercedes-Benz G 580 EQ Standard
Mercedes-Benz G 580 EQ Edition One

 

 

Tambahan itu, teknologi torque vectoring membolehkan kenderaan ini menggunakan “virtual differential lock” secara automatik memberikan cengkaman maksimum di semua permukaan tanpa perlu pengaktifan manual.

Bagi tenaga elektrikfikasi, ia dikuasakan oleh pek bateri 116 kWh dengan casis tangga keluli sebagai pelindung dan G 580 mencapai jarak gerak pemanduan dari 434km sehingga 473km mengikut kitaran WLTP.

Ia juga mempunyai keupayaan pengecasan mencapai 200 kW DC 10–80 peratus dalam kira-kira 32 minit, manakala pengecasan AC tersedia sehingga 11 kW.

 

mom

 

G 580 turut menawarkan tiga program pengecasan iaitu Standard, Work dan Home, yang boleh disesuaikan mengikut lokasi dan masa berlepas.

Untuk memberi pengalaman pemanduan yang lebih menarik, Mercedes-Benz G 580 membawakan pelbagai ciri eksklusif off-road seperti:

  • G-TURN – membolehkan kenderaan berpusing hampir pada paksi sendiri.
  • G-STEERING – mengurangkan jejari pusingan secara ketara.
  • Off-road Crawl – seakan kawalan kelajuan automatik dalam mod luar jalan.
  • Transparent Bonnet – pandangan maya di bawah hud hadapan melalui kamera 360°.

Dengan keupayaan mendaki cerun sehingga 100%, fording depth mencecah 850 mm dan sudut mendaki/menurun 32°/30.7°, G 580 mengekalkan reputasinya sebagai lagenda dalam dunia 4x4.

 

Mercedes-Benz G 580 EQMercedes-Benz G 580 EQ

 

Dari sudut penggayaan, bahagian luar mengekalkan siluet petak G-Class, lengkap dengan gril Black Panel, rim AMG 20-inci dan lampu MULTIBEAM LED. Manakala, pada bahagian belakang menampilkan design box khas untuk menyimpan kabel pengecas atau alat ganti.

 

Mercedes-Benz G 580 EQ

 

Pada ruang dalaman, kabin G 580 dimeriahkan dengan pencahayaan ambien, balutan kulit nappa, sistem bunyi Burmester® 3D dan sistem hiburan MBUX termasuk skrin 12.3-inci serta fungsi Augmented Reality Navigation.

Selain itu, G 580 juga didatangkan dengan pelbagai sistem bantuan pemanduan seperti DISTRONIC, Active Steering Assist dan kamera 360°.

 

Mercedes-Benz G 580 EQ

 

Untuk beri pengalaman eksklusif lebih menarik pada pemilik, edisi pelancaran terhad EDITION ONE menampilkan kemasan istimewa termasuk trim biru pada jalur badan, pemegang pintu MANUFAKTUR dengan logo timbul, kaliper brek biru serta upholsteri nappa leather dalam kombinasi warna Silver Pearl/Black bersama trim gentian karbon biru.

 

Mercedes-Benz G 580 EQ

 

Mercedes-Benz G 580 dengan Teknologi EQ dijual bermula dari RM958,888, manakala versi EDITION ONE ditawarkan pada harga RM998,888 (termasuk cukai jualan 10%, tidak termasuk insurans). Harga juga merangkumi pemasangan wallbox pengecas di rumah.

Model ini boleh disaksikan secara eksklusif dari 27 hingga 29 Jun 2025 di Raintree Plaza, The Exchange TRX dimana pengunjung berpeluang menyaksikan sendiri keupayaan G-TURN 720° dan keupayaan menawan cerun 40°.

 

Mercedes-Benz G 580 EQ