Mercedes EQE SUV 2024 dengan talaan AMG, kuasa setinggi 687 hp, 1000 Nm!

oleh Mohamad Hanif|
Era SUV pantas sentuhan AMG tidak pernah terhenti begitu sahaja walaupun pengeluar Mercedes-Benz sudah mula beralih kepada penawaran kenderaan elektrik.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Memperkenalkan, Mercedes-AMG EQE SUV 2024 - SUV elektrik pertama yang didatangkan dengan talaan AMG dengan sistem pacuan semua roda, sistem stereng gandar belakang, dan sistem suspensi udara AMG Ride Control+ secara standard.

Berbanding varian EQE 500 4MATIC yang sudah cukup berkuasa itu, Mercedes-AMG meningkatkan kuasa EQE SUV bernombor 43 ini kepada 476 hp dan daya kilas 858 Nm, sistem pacuan semua roda dengan pecutan 0-100 km/j sepantas 4.3 saat dan kelajuan tertinggi 210 km/j.
 

AMG


Varian yang lebih berkuasa EQE 53 4MATIC+ SUV pula menampilkan motor elektrik talaan spesifik AMG yang mampu menghasilkan output yang lebih tinggi, tidak ketinggalan sistem penyejukan khas dan penukar haba minyak transmisi yang diperlukan bagi menampung peningkatan angka output itu tadi.

Terima kasih kepada talaan yang disebutkan tadi, EQE 53 SUV ini mampu menjana kuasa setinggi 626 hp dan daya kilas 950 Nm, selain mampu mencapai kelajuan tertinggi 220 km/j.

EQE 53 SUV juga boleh dipadankan dengan AMG Dynamic Plus Package yang mampu menyahkunci fungsi Race Start dan Boost yang akan meningkatkan kuasa kepada 687 hp dan 1,000 Nm, pecutan 0-100 km/j dipendekkan kepada 3.5 saat dan kelajuan tertinggi 240 km/j.
 

AMG


Pek bateri pula masih lagi kapasiti yang sama seperti model standard EQE SUV, namun dengan jarak gerak antara 431 hingga 488 km sahaja (atau 375-470 km untuk varian EQE 53 SUV).

Penampilan SUV EQE talaan AMG ini boleh dibezakan menerusi pemasangan jeriji palsu dengan garis menegak, serta logo AMG pada bahagian bonet menggantikan logo bintang Mercedes.

Rim 21 inci adalah standard untuk kedua-dua varian, serta balutan tayar Michelin Pilot Sport EV M01, namun pemilik boleh mendapatkan opsyen rim bersaiz 20 dan juga 22 inci.
 

AMG


Sistem brek pula terdiri daripada angkup enam omboh dan rotor bersaiz 415 mm di depan, diikuti angkup omboh tunggal dengan rotor 378 mm di bahagian belakang, di mana terdapat juga opsyen sistem brek seramik untuk dipadankan pada EQE SUV talaan AMG ini.

Mercedes-AMG EQE 53 SUV ini juga turut hadir dengan ciri AMG Active Ride Control yang menggunakan penggerak elektromekanikal untuk mengganding dan nyah-ganding bar oleng bergantung kepada kondisi pemanduan. Tujuannya adalah untuk membenarkan pergerakan tayar yang lebih bebas sewaktu pemanduan di jalan yang kasar, atau mengurangkan olengan badan sewaktu pemanduan yang lebih sporti.

Terdapat sistem bunyi khas AMG Sound Experience dengan tiga pilihan bunyi yang ditawarkan iaitu Balanced, Sport dan Powerful, di mana ia bukan sekadar menghasilkan bunyi enjin palsu, ia juga turut merangkumi operasi seperti mengunci dan menyahkunci kereta serta indikasi membelok yang boleh didengari oleh penumpang dan juga pejalan kaki dan pengguna jalan raya yang lain.

 


Sama seperti EQE SUV standard, Mercedes-AMG EQE SUV turut didatangkan dengan skrin paparan gergasi MBUX Hyperscreen, dengan balutan upholsteri kulit yang lebih gelap, tali pinggang keledar berwarna merah, serta roda stereng AMG dengan kehadiran butang fungsi khas untuk penukaran mod pemanduan.