Mercedes EQA 2021 - GLA-Class versi elektrik, 190 PS/375 Nm, jarak operasi 486 km

oleh Mohamad Hanif|
Mercedes EQA merupakan ahli baharu yang masuk ke dalam keluarga kenderaan elektrik Mercedes-EQ, sekaligus merangkap EV terkecil dan kereta elektrik aras mula yang ditawarkan oleh jenama Jerman itu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Ia dibangunkan berdasarkan model Mercedes-Benz GLA-Class, dan sama seperti kembar enjin petrolnya, Mercedes EQA turut ditawarkan di dalam varian nombor tipikal Mercedes, EQA 250.

Atas kertas, Mercedes EQA didatangkan dengan konfigurasi motor elektrik tunggal yang menjana 190 PS dan 375 Nm yang memacu roda hadapan sahaja, sementara kuasa pula disumberkan daripada pek bateri 66.5 kWh.

 


Tiada sebarang angka jarak operasi rasmi yang diumumkan, namun Mercedes mengganggarkan EQA mampu bergerak sejauh 486 km mengikut data NEDC, atau 426 km mengikut data WLTP.

Selain EQA 250, Mercedes turut merancang untuk memperkenalkan lebih banyak varian EQA pada masa akan datang yang menawarkan konfigurasi pacuan roda depan dan pacuan semua roda, di mana varian paling berkuasa mampu menghasilkan 268 hp dan versi khas yang mampu bergerak sejauh 500 km.

Difahamkan, varian pacuan semua roda 4Matic akan menggunakan motor elektrik jenis permanently excited sychronous motor di belakang, dan asynchronous motor di hadapan, serta sistem 4Matic yang mampu mengubah tetapan pengedaran daya kilas dalam tempoh 100 kali per saat.

 


Dari segi luaran, anda boleh menjangkakan banyak elemen GLA-Class diasimilasikan ke dalam EQA, seperti lampu utama LED penuh, bentuk gril yang kini 'kosong' tanpa sebarang bukaan, serta lampu belakang LED yang bersambung dengan satu jalur melintangi bahagian tersebut.

Menariknya, walaupun sebuah EV, EQA 250 ini tampil dengan rekaan rim yang lebih sporti.

Sisten gantungan EQA 250 ini datang dengan sistem suspensi selesa, dengan sistem gantungan adaptif sebagai ciri opsyen yang boleh dipilih.

 


Persamaan dengan model GLA-Class turut dibawakan pada ruang kabin yang menempatkan susun atur papan pemuka, skrin berkembar 10.25 inci (atau 7 inci untuk model asas), dan sistem pencahayaan lampu ambien.

Sistem infotainmen EQA ini menampilkan ciri 'Navigation with Electric Intelligence' di mana ia mampu merancang laluan yang terpantas beserta hentian pengecasan, selain mampu mengubah laluan apabila terdapat perubahan arus trafik di hadapan.

Dengan akses kepada Mercedes me Charge, pelanggan akan mendapat sambungan kepada jaringan 450,000 pengecasan AC dan DC di 31 buah negara, termasuklah jaringan Ionity.

Sistem pengecasan 11 kW didatangkan standard untuk EQA dan boleh digunakan di stesen pengecasan pantas DC 100 kW di mana menurut Mercedes, ia hanya memakan masa sekitar 30 minit sahaja untuk mencapai kapasiti 80 peratus dari 10 peratus.

 


Penjualan Mercedes EQA akan bermula di Eropah pada musim bunga ini, dengan harga jualan bermula dari 38,540 euro (RM188,712) termasuk potongan rebat.