Mercedes dedah rekaan ruang kabin E-Class serba baharu

oleh Mohamad Hanif|
Menjelang pelancaran sebenar model generasi baharu E-Class 2024, Mercedes-Benz mula melancarkan kempen acah dengan memperlihatkan susun atur ruang kabin sedan berkod W214 itu.

Jika dilihat dengan teliti, rekaan papan pemuka E-Class serba baharu itu banyak mengambil inspirasi daripada susun atur yang terdapat pada sedan elektrik EQE.

Perbezaan yang ketara antara E-Class dan EQE ialah corong pendingin hawa yang tidak lagi berbentuk bulat pada penghujung papan pemuka, sementara butang pintas kini telah dipindahkan ke bahagian bawah skrin tengah.
 

E-Class


Sistem pencahayaan ambien aktif (Active Ambient Lighting) akan ditawarkan sebagai opsyen di mana ia boleh diselarikan dengan sistem audio untuk mencipta mood pencahayaan berdasarkan rentak lagu yang keluar daripada sistem bunyi Burmester 17 pembesar suara.

Antara ciri baharu yang diwujudkan pada ruang kabin E-Class ialah kehadiran unit kamera selfie/video, serta skrin tambahan pada tempat duduk penumpang hadapan yang menjadi sebahagian daripada MBUX Superscreen (bukan Hyperscreen seperti S-Class/EQS).

Menurut Mercedes, kamera selfie/video itu hanya boleh berfungsi sewaktu kereta berada dalam keadaan statik, dan boleh digunakan untuk persidangan video menggunakan Zoom atau Webex.
 

E-Class


Skrin ketiga itu turut dilengkapi dengan teknologi kawalan cahaya berkembar (DLC), bertujuan untuk mengurangkan gangguan terhadap pemandu. Dalam masa yang sama, penumpang hadapan masih boleh melihat kandungan multimedia dalam skrin itu walaupun tahap kecerahan telah dikurangkan.

Selain kamera selfie itu tadi, terdapat kamera yang digunakan untuk memantau pergerakan mata pemandu, di mana data itu tadi akan digunakan untuk mengurangkan tahap silau skrin ketiga bagi mengurangkan gangguan terhadap pemandu.

Sistem infohibur terbaharu Mercedes-Benz itu mampu menyokong aplikasi lain seperti media sosial TikTok, permainan Angry Birds, serta pelayar internet Vivaldi.
 

E-Class


Mercedes turut menyediakan portal ZYNC yang membolehkan pemilik mendapatkan kandungan berbayar seperti penstriman video, permainan, berita serta kandungan atas permintaan untuk dipaparkan pada skrin tengah dan skrin penumpang.

Lebih banyak perincian bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi Mercedes-Benz E-Class 2024 pada tahun ini.

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Dalam era EV Mercedes-Benz masih lagi setia menawarkan bentuk badan sedan tatkala pesaing rapat…
Berita Global
Terbaharu, jenama mewah Jerman itu mengumumkan penamatan produksi bagi model CLS-Class seperti yang…
Model Terbaharu
Syarikat Jerman itu berusaha menggabungkan ciri-ciri kemewahan dan keselesaan tradisional nama…