Mercedes-Benz Vision EQXX mampu capai jarak 1,000 km dalam pemanduan dunia sebenar

oleh Mohamad Hanif|
Secara teorinya, Mercedes-Benz Vision EQXX mampu bergerak sejauh lebih 1,000 km, terima kasih kepada teknologi bateri sejukan udara 100 kW, penggunaan bahan ringan, serta binaan badan yang aerodinamik dengan nilai pekali seretan serendah 0.17 sahaja.

Namun, teori yang bagus tidak akan bermakna selagi ia tidak dibuktikan di dalam ujian dunia sebenar. 

Oleh itu, Mercedes membuat keputusan untuk menguji sendiri keupayaan model Vision EQXX di atas dunia sebenar, dengan membuat pemanduan sejauh kira-kira 1,007 km dari Hab Perisian Elektrik (EHS) di Sindelfingen, Jerman menuju ke Cassis, Perancis.
 

EQXX


Fasiliti EHS merupakan lokasi di mana Mercedes-Benz menjalankan ujian simulasi dan pengujian terhadap jentera yang dibangunkan, malah para jurutera yang bertugas mampu memantau keadaan sebenar EQXX dalam masa nyata.

Jalan yang dipilih merangkumi pelbagai jenis keadaan trafik seperti laluan berliku, laluan urban, jalan yang sesak dengan trafik, serta tidak ketinggalan lebuh raya Autobahn yang terkenal itu.

Vision EQXX meninggalkan fasiliti EHS beberapa minit sebelum matahari terbit, dan pemandu mengekalkan rentak pemanduan normal berkelajuan 140 km/j sebelum merentasi sempadan Switzerland untuk menempuh trafik pagi Zurich.
 

EQXX


Cabaran pertama ditempuh adalah laluan trafik henti-mula sepanjang Gotthard Road Tunnel sejauh 14.4 km sebelum menghala ke Utara Itali di mana pemandu memanfaatkan sepenuhnya sistem brek regeneratif yang dilengkapi pada EQXX ini.

Selain daripada menempuh cuaca hujan, Mercedes-Benz EQXX itu juga turut memanfaatkan binaan 117 panel solar yang terdapat pada bahagian bumbung dengan tahap kecekapan 20 peratus menerusi laluan bercuaca panas terik.

Menurut Mercedes-Benz, panel solar itu tadi mampu menambah jarak sejauh 25 km ke atas jarak 1,000 km sedia ada.
 

EQXX


Perjalanan menuju ke Cassis, Perancis itu selesai selepas 12 jam pemanduan termasuk dua kali sesi rehat selama 15 minit bagi menukar pemandu dan memeriksa tahap tekanan tayar, dan berdasarkan pemeriksaan EQXX masih lagi menunjukkan baki perjalanan tersisa sejauh 136.7 km.

EQXX mungkin sekali tidak akan diterjemahkan menjadi sebuah model produksi sebenar, namun teknologi yang ditampilkan pada model konsep ini bakal muncul pada model-model Mercedes seperti A-Class dan B-Class generasi baharu seawal tahun 2024 dengan menggunakan platform baharu MMA.

Baca: Bagaimana Mercedes-Benz EQXX mampu capai jarak pemanduan 1,000 km secara teori

 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Untuk kategori Entry Luxury, Mercedes-Benz mahu mengurangkan lagi model daripada tujuh kepada empat…
Informasi
Kursus bertempoh tiga tahun ini merangkumi pelbagai silibus dan garis panduan latihan yang telah…
Berita Global
G-wagen yang tinggi ini telah diberikan naik taraf seperti penambahan fender lebar, rim 22 inci,…