Mercedes-Benz V-Class Marco Polo 2023 debut di Caravan Salon Jerman

oleh Mohamad Hanif|
Bersempena dengan acara Caravan Salon di Dusseldorf, Jerman, Mercedes-Benz Vans turut sama memperlihatkan sebuah model campervan mewah, iaitu Mercedes-Benz V-Class Marco Polo.

Sama seperti model V-Class standard yang dilancarkan beberapa bulan lepas, V-Class Marco Polo turut mendapat perubahan bersifat kosmetik.

Seperti contoh, rekaan jeriji radiator yang lebih gagah diikuti dengan rekaan bampar depan dan belakang yang telah dikemaskini.
 

V-CLass


Terdapat juga pilihan untuk pakej rekaan AMG Line yang menambah jalur LED pada sekeliling struktur jeriji, serta unit lampu LED Multibeam.

Sama seperti model V-Class standard, susun atur papan pemuka juga telah dikemaskini dengan menampilkan dua skrin bersaiz 12.3 inci di dalam satu panel tunggal, corong pendingin hawa yang telah direka semula, konsol tengah baharu dengan opsyen pengecasan peranti tanpa wayar, serta rekaan roda stereng yang lebih moden.
 

V-Class


Mercedes-Benz Vans telah menambah ciri modul kawalan baharu yang dinamakan sebagai Mercedes-Benz Advanced Control (MBAC).

Menerusi MBAC, pelbagai fungsi yang penting boleh diakses menerusi skrin kokpit atau aplikasi peranti pintar, atau menyahaktifkan fungsi yang tidak diperlukan dengan satu sentuhan.
 

V-Class


Malah, sistem suspensi Airmatic juga boleh dilaraskan sewaktu bermalam di kawasan yang tidak rata dengan hanya satu sentuhan butang sahaja.

Mercedes-Benz V-Class Marco Polo boleh memuatkan empat orang pada satu-satu masa, di mana ruang tidur tambahan boleh disediakan apabila bumbung pop-up dinaikkan.
 

v-class


Terdapat juga kelengkapan dapur yang serba lengkap, meja yang boleh dilipat, serta pelbagai ruang penyimpanan barang yang disediakan untuk kemudahan dan keselesaan sewaktu melakukan aktiviti di luar jaringan grid.