Mercedes-Benz Universal, fintail ikonik dalam bentuk wagon!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Mercedes-Benz 200 D Universal
Mercedes-Benz 200 D Universal
Sekali-sekali kita dihidangkan dengan wagon dari Mercedes-Benz. Sekali terserempak memang mengujakan.

Terima kasih juga kepada pengimport yang tegar dan pembeli yang tidak hiraukan segmen lain.

Satu ketika dulu industri pengangkutan negara diwarnai teksi Mercedes-Benz. Model unik pastilah si Fintail.

Mercedes-Benz Fintail mempunyai tiga generasi iaitu W110, W111 dan W112.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02
Mercedes-Benz 200 D Universal

 

Tahukah anda? Fintail pun ada wagon! Nampak begitu sepadan seolah-olah model fintail dibuat khusus untuknya.

Mercedes-Benz 200 D tahun 1968 (W110) ada dipamerkan di Muzium Mercedes-Benz di Jerman.

Daimler-Benz AG memperkenalkan fintail wagon pada Pameran Kenderaan Brussels 1965 dan dimulakan oleh 190 D.

Saiz muatan di belakang kerusi depan ialah 2.7 meter padu dengan keupayaan beban sehingga 710 kilogram (kg).

 

Mercedes-Benz Universal

 

Membawa beban tambahan, fintail wagon dipasang rim 15 inci berbanding model sedan selain pegas gegelung yang diperkukuh.

Fintail wagon dipasang oleh IMA di Belgium yang menerimanya dalam bentuk casis dan panel separuh badan.

Nama model juga menarik iaitu Universal dek kerana penampilannya. Ibarat 'Mercedes-Benz' di kalangan wagon dan menggabungkan keanggunan sedan dan kebolehgunaan.

Gabungan bahu badan yang bersambung dengan sirip belakang, panel sisi dan bumbung lurus menampakkan sebuah wagon yang tegap dan kekal menarik pada hari ini.

 

Mercedes-Benz 200 D Universal

 

Selepas Universal, barulah wagon 123 diperkenalkan 12 tahun kemudian dan dikeluarkan pada tahun berikutnya.

Wagon 123 juga menarik namun fintail ibarat melekat di dalam minda selepas melihatnya.

Selain keluasan, keselesaan dan prestasi, fintail juga bagus dari segi keselamatan.

Sel penumpang yang tegar dengan zon remuk di depan dan belakang turut menjadi piawaian pada masa itu.

 

Mercedes-Benz 200 D Universal

 

Dari gambar boleh dilihat tarikan pada bahagian dalam dengan balutan kulit tiruan warna coklat (medium brown).

Paling menarik semestinya lantai belakang ala kayu mahogani. Lebih tepat lagi Panolux iaitu bahan yang terdiri daripada serat kayu dan resin Bakelit (sintetik).

Bahan itu tahan calar, kotor, haus dan lusuh selain nampak mewah. Jaluran krom dengan getah menahan muatan daripada gelinciran.

Perhatikan juga bagaimana kerusi dilipat rata dengan kemas dan menghasilkan ruang yang lapang berukuran 1.9 meter panjang.

 

Mercedes-Benz 200 D Universal

 

Dari tahun 1967 dan 190 D Universal, empat varian wagon menyusul dan diasaskan dari model 200 D, 200, 230 dan 230 S.

Dua varian menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder dan dua berikutnya digerakkan enjin 2.3 liter enam silinder.

Daripada varian tersebut, 230 S Universal memainkan peranan istimewa dan ditonjolkan sebagai model mewah.

Fintail wagon 200 D Universal yang dipamerkan di Muzium Mercedes-Benz dibekalkan enjin 2.0 liter empat silinder dan menghasilkan 55 kuasa kuda (hp).

 

Mercedes-Benz 200 D Universal

 

Unit ini dikeluarkan selepas model rupa baharu dan didaftarkan pada Julai 1968. 

Di sebalik roda ialah ampaian canggih hidropneumatik yang baru dibangunkan dengan penyelarasan automatik mengikut berat beban.

Status langka Mercedes-Benz Universal terbukti dengan hanya 2,754 buah dikeluarkan dari 1965 sehingga 1968.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Mercedes-Benz 200 D Universal