Mercedes-Benz S-Class 2021 - elegan di luar, moden dan lebih canggih di dalam

oleh Mohamad Hanif|
Sedan mewah bersaiz penuh serba baharu dari Jerman, Mercedes-Benz S-Class generasi ketujuh akhirnya rasmi dilancarkan bagi meneruskan tugasnya sebagai sebuah model bertaraf mercu dari Mercedes-Benz.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Jika dibandingkan dengan generasi terdahulu, S-Class serba baharu (kod generasi W223) ini lebih panjang 1.3 inci, lebih lebar 2.0 inci dan sedikit tinggi 0.4 inci, di mana jarak antara roda juga turut bertambah 2.0 inci.

Selain daripada itu, S-Class 2021 ini turut menerima penambahan jarak trek hadapan sebanyak 1.4 inci manakala trek belakang pula sebanyak 2.0 inci.

Penambahan dimensi ini bukan sahaja mengekalkan proporsi sedan yang atletik, malah ia juga menawarkan ruang kabin yang lebih luas, dan lebih selesa kepada para VIP.

 


Dari segi penampilan, sedan bersaiz penuh ini membawakan perubahan minima, di mana rekaan lampu kini menjadi lebih tajam, manakala lampu belakang pula lebih tirus dan memanjang selepas tiga generasi.

Selain daripada itu, pemegang pintu pula kini tertanam kemas di dalam badan membantu aliran udara yang lebih baik, serta menjadikan S-Class salah sebuah kereta yang paling aerodinamik dalam dunia dengan kadar pekali seretan 0.22 sahaja.

Memasuki ruang kabin, para jurutera Mercedes-Benz mahukan S-Class baharu ini tampil lebih moden dan lebih menyenangkan mata memandang dengan mengurangkan sehingga 27 punat atau butang fungsi berbanding model yang terdahulu.

 


Di bahagian tengah, terpampang skrin infotainmen OLED bersaiz 12.8 inci yang terletak di bawah corong pendingin hawa tengah yang dioperasikan oleh MBUX dan ditambah dengan ciri bantuan pintar yang boleh diaktifkan dengan kata sapaan 'Hey Mercedes'.

Terdapat sehingga 30 pembesar suara dan lapan resonator yang terpasang di sekeliling kabin sebagai sebahagian daripada sistem bunyi empat dimensi Burmester.

Untuk penumpang belakang, terdapat dua unit skrin bersaiz 11.6 inci serta sebuah tablet 7.0 inci yang boleh dialihkan yang merupakan sebahagian daripada pakej Business Center Console, di mana penumpang belakang juga boleh mengakses tetapan hiburan dan memilih sehingga tujuh profil pengguna yang berbeza.

Roda stereng pula menawarkan kawalan sentuhan kapasitif, serta mempunyai penderia dua zon yang mampu mengesan ketidakhadiran tangan pemandu pada stereng, di mana ia amat membantu ketika pemandu mengaktifkan sistem bantuan pemanduan.

 


Salah satu ciri yang menjadikan kabin S-Class lebih menarik adalah sistem pencahayaan ambien baharu di mana menurut Mercedes terdapat lebih kurang 250 fiber optik dengan satu unit LED untuk setiap 0.6 inci kabel yang digunakan.

Malah, sistem pencahayaan ini juga mampu memberikan respon bila mana salah satu daripada ciri keselamatan diaktifkan seperti Bantuan Titik Buta Aktif.

Sebut pasal ciri keselamatan, sedan bertaraf mercu Mercedes ini sudah pasti dilengkapi dengan sistem yang menyeluruh (aktif dan juga pasif) yang merangkumi brek kecemasan automatik, kawalan pelayaran adaptif, bantuan stereng aktif, bantuan kekal laluan, bantuan penukaran laluan, dan pemantauan titik buta aktif.

Ciri baharu yang dimuatkan untuk generasi baharu ini adalah pengesan tangan jauh dari stereng (hand-off recognition) seperti yang disebutkan pada perenggan terdahulu, di mana anda tidak lagi perlu menggerakkan stereng untuk 'memberitahu' sistem bahawa kenderaan kini berada dalam kawalan.

Selain daripada itu, S-Class 2021 turut menawarkan ciri pemanduan autonomi Tahap Ketiga (Level 3 Automation) Drive Pilot yang menggunakan bantuan penderia, Lidar dan peta digital berdefinisi tinggi.

 


Manakala ciri yang dibawakan dari model GLE dan GLS adalah sistem suspensi adaptif E-Active Body Control, serta Pre-Safe Impulse Control yang mampu mengesan kehadiran kenderaan saat sebelum pelanggaran dan menaikkan ketinggian S-Class untuk mengurangkan kesan pelanggaran.

Sistem suspensi pula adalah jenis four-link di hadapan dan suspensi bebas multi-link di bahagian belakang, di mana S-Class serba baharu ini turut mempunyai ciri stereng untuk gandar belakang yang menyumbang kepada nisbah stereng 15 peratus lebih baik dan radius putaran sekecil 10.5 meter.

Sistem stereng gandar belakang pada S-Class ini menawarkan dua opsyen iaitu sudut putaran 4.5 darjah dan putaran penuh 10 darjah yang memerlukan anda mendapatkan saiz tayar 225/40 R20 sahaja.

 


Mercedes-Benz S-Class 2021 hadir dalam dua varian, di mana versi asas S 500 menerima nadi turbo 3.0 liter enam silinder sebaris yang dibantu dengan sistem EQ Boost 48 voltan yang mampu menjana 429 kuasa kuda dan 521 Nm daya kilas.

Kuasa tersebut disalurkan kepada sistem pacuan semua roda manakala menggunakan EQ Boost, S-Class mampu mendapat kuasa tambahan 21 hp dan 294 Nm dalam tempoh masa yang singkat.  

Manakala varian tertinggi S 580 pula dilengkapi dengan nadi bentangan V8 turbo berkembar yang menghamburkan 469 kuasa kuda dan daya kilas 700 Nm.

Kedua-dua varian itu tadi dipadankan dengan transmisi automatik sembilan nisbah kelajuan dan memiliki kelajuan tertinggi 209 km/j yang dihadkan secara elektronik.
 


Manakala pasaran Eropah pula mendapat beberapa varian enjin petrol enam silinder sebaris seperti S 450 (362 hp), S 500 (429 hp), serta penawaran enjin diesel S 350 d, S 350 d 4MATIC, dan S 400 d 4MATIC.

Sedan flagship Mercedes-Benz ini bakal menyerang pasaran Amerika terlebih dahulu menjelang separuh pertama tahun 2021.

Berita Berkenaan

Berita Global
Namun dengan bantuan teknologi yang diperoleh daripada sukan Formula One mampu menjadikan model…
Berita Global
Berbanding model GLC-Class yang terdahulu, GLC-Class generasi baharu membawakan dimensi yang…
Berita Global
Sistem yang lebih dikenali sebagai Drive Pilot itu boleh didapati di Jerman bermula 17 Mei ini…