Mercedes-Benz pertimbang bawa masuk EV untuk pasaran Malaysia

oleh Mohamad Hanif|
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) sedang mempertimbangkan untuk membawa masuk model kenderaan elektriknya (EV), Mercedes-Benz EQ ke pasaran Malaysia, model elektrik sepenuhnya pertama jenama itu di negara ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Claus Weidner, berkata perancangan itu bergantung kepada semakan semula Dasar Automotif Nasional (NAP) membabitkan insentif dan peraturan.

Katanya, pengumuman penting dan amat dinantikan peserta industri itu akan menjadi titik tolak khususnya kepada MBM untuk mempersiapkan aspek pelaksanaan EV jenama itu di negara ini.

"Kami menunggu keputusan kerajaan berkenaan EV membabitkan semakan NAP yang baharu. Kami akan melihat kepada dua sudut iaitu permintaan dan kebolehlaksanaan ekonomi khususnya membabitkan kenderaan 'plug-in hybrid' (PHEV) dan EV.

"Peraturan dan insentif yang akan diumumkan kerajaan tidak lama lagi penting untuk kami menetapkan hala tuju MBM, termasuk cadangan memperkenalkan model EV iaitu EQ," katanya pada sesi taklimat media secara maya, hari ini.

Yang turut serta, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Kenderaan Penumpang MBM, Michael Jopp.

Perkembangan sihat untuk industri automotif khususnya segmen premium itu dilihat selaras dengan perancangan kerajaan seperti termaktub dalam NAP 2020 yang diumumkan Februari tahun lalu.

NAP 2020 menggabungkan tiga elemen teknologi canggih baharu iaitu Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV), Mobiliti sebagai satu Perkhidmatan (MaaS) dan Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0).

Dasar 10 tahun bermula 2020 hingga 2030 bagi industri automotif Malaysia juga amat menitikberatkan kelestarian alam sekitar dan pelepasan karbon yang bertepatan dengan ciri ditampilkan EV.

 


Julai tahun lalu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerajaan sedang menyusun semula pelan tindakan dalam melaksanakan NAP 2020, bertujuan menjadikan sektor automotif negara lebih berdaya saing dan maju.

Penyusunan semula pelan tindakan itu dilihat akan membantu menyegerakan pemulihan sektor automotif negara melalui galakan pelaburan dalam segmen kenderaan berteknologi tinggi dan mesra alam sekitar.

Semakan semula insentif berkaitan itu sudah pun dimuktamadkan dan kini menunggu kelulusan kerajaan sebelum diumumkan kelak.

Weidner berkata, MBM akan bekerjasama rapat dengan MITI dan Institut Automotif, Robotik dan IoT (MARii) bagi melihat sama ada semakan semula NAP akan membolehkannya merealisasikan rancangan membawa masuk model EV ke negara ini.

"Kami juga berharap kerajaan dapat membina infrastruktur pengecasan dengan baik sekali gus membolehkan kami jelas hala tuju (Malaysia) untuk memajukan teknologi seperti ini di pasaran," katanya.

Mengenai prospek perniagaan, Weidner berkata, MBM melihat 2021 menjadi tahun penting dari segi pemulihan selepas kebanyakan perniagaan termasuk automotif terjejas disebabkan penularan COVID-19.

Beliau berkata, MBM optimis dengan industri automotif tahun ini dipacu lanjutan pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun dan langkah syarikat jenama premium itu mempertingkatkan keupayaan serta pengalaman pelanggan membabitkan aspek pendigitalan operasi.

"Perkembangan yang ditunjukkan menerusi insentif pengecualian cukai tahun lalu amat memberangsangkan dan ia dijangka memacu pasaran automotif Malaysia dan jualan MBM tahun ini.

Dari segi pelancaran model baharu 2021, Jopp berkata, MBM akan memberi tumpuan kepada beberapa model penting termasuk kereta kompak dan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mendapat perhatian memberangsangkan di pasaran tempatan.

"Produk yang dilancarkan kelak akan memenuhi permintaan pelanggan di Malaysia. Sebagai contoh, S series yang semakin meningkat dan kereta kompak juga menunjukkan perkembangan yang positif," katanya.

Sumber: Berita Harian

Berita Berkenaan

Informasi
Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya rasa bertuah kerana Mercedes-Benz Malaysia tidak lokek…
Model Terbaharu
Tidak seperti penawaran C 200 dan C 300 sedia ada, C 350 e secara asasnya merupakan sebuah sedan…
Pelancaran
Tidak seperti model terdahulu, GLA-Class hanya boleh didapati dalam varian tunggal GLA 200 sahaja,…