Mercedes-Benz GLS 450 4MATIC AMG Line - harga dari RM899,888, penghantaran bermula tahun depan

oleh Mohamad Hanif|
Baru-baru ini, Mercedes-Benz Malaysia telah pun melancarkan sebuah SUV bertaraf mercu, paling mewah dan paling besar di dalam keluarga SUV, iaitu Mercedes-Benz GLS.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

SUV generasi ketiga (kod nama X167) itu hadir dalam penawaran varian tunggal GLS 450 4MATIC AMG Line, dan dikuasakan oleh nadi enam silinder sebaris 3.0 liter menghasilkan 367 hp dan 500 Nm, serta tambahan 22 hp/250 Nm daripada sistem EQ Boost 48-voltan.

Kuasa tersebut disalurkan kepada sistem pacuan semua roda 4MATIC menerusi transmisi 9G-TRONIC sembilan nisbah kelajuan, dan membenarkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat sahaja.

 


Kelajuan maksimum pula adalah sekitar 246 km/j.

Mercedes-Benz GLS dilengkapi dengan sistem suspensi udara AIRMATIC dengan Adaptive Damping System Plus sebagai ciri standard, di mana talaan telah diberikan bagi memaksimumkan kadar keselesaan ketika pemanduan.

Jika dibandingkan dengan generasi terdahulu, Mercedes-Benz GLS memiliki kelebihan dari segi jarak antara roda 60 mm lebih panjang (3,135 mm) menjadikan perkadaran SUV ini lebih harmoni dan elegan.

 


Penampilan agresif SUV GLS ini diserikan dengan pakej luaran AMG Line, rekaan bumper dengan dua bukaan udara di bahagian sisi, gril yang gagah, serta lampu LED Multibeam yang terdiri daripada 112 unit LED, setiap satu.

Unit lampu belakang juga menggunakan teknologi LED berbentuk tiga dimensi, dan kemasan di bahagian luar diakhiri dengan jalur krom melintangi bahagian tersebut dan penampilan plet underguard berwarna krom.

 


Memasuki ruang kabin, rekaan papan pemuka GLS ini menampilkan dua unit skrin bersaiz 12.3 inci yang dikuasakan oleh Mercedes-Benz User Experience (MBUX), roda stereng dengan butang kawalan sentuhan, serta pad sesentuh yang terletak pada konsol tengah.

Selain daripada itu, Mercedes-Benz GLS juga menawarkan MBUX Rear Seat Entertainment System merangkumi dua skrin sesentuh bersaiz 11.6 inci, membolehkan penumpang belakang menikmati kandungan multimedia, melayari internet atau sekadar mengetahui informasi semasa kenderaan.

Sistem audio pula adalah daripada Burmester serta didatangkan dengan dua set headphone untuk penumpang belakang.

 


Ketiga-tiga baris tempat duduk didatangkan dengan ciri larasan menggunakan kuasa elektrik, dan dengan fungsi EASY-ENTRY, ia memudahkan urusan keluar masuk untuk penumpang di baris ketiga.

Mercedes-Benz GLS menawarkan kapasiti kargo sehingga 2,400 liter apabila tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat, di mana terdapat suis di bahagian kiri dan kanan ruang kargo untuk melipat tempat duduk, selain menurunkan ketinggian SUV ini sehingga 50 mm untuk memudahkan urusan memuatkan barangan yang berat.

Dari segi keselamatan, Mercedes-Benz GLS hadir dengan ciri seperti kamera keliling 360 darjah, Active Parking Assist dengan PARKTRONIC, sistem Pre-safe, sistem pemantauan tekanan tayar, Magic Vision Control dan Active Steering System.

 


Harga jualan Mercedes-Benz GLS 450 4MATIC AMG Line bermula dari RM899,888 termasuk 10 peratus cukai jualan, ini kerana menurut MBM, SUV ini hanya akan diedarkan bermula tahun hadapan.