Mercedes-Benz GenH2 - trak tugas berat dengan teknologi sel bahan api hidrogen

oleh Mohamad Hanif|
Jika dilihat sekali imbas, model konsep trak semi terbaharu Mercedes-Benz GenH2 ini membawakan elemen daripada lori kepala kasut atau nama rasminya Mercedes-Benz Kurzhauber (membawa maksud short bonnet).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Namun, tidak seperti Kurzhauber yang datang dengan nadi diesel (dan masih lagi gagah meluncur atas jalan raya), GenH2 Concept ini merupakan sebuah trak tugas berat dengan sel bahan api yang digunakan untuk perjalanan jauh.

Direka untuk mempunyai keupayaan  yang sama seperti trak Actros, GenH2 Concept ini mempunyai berat sekitar 40 tan dengan keupayaan membawa beban seberat 25 tan.

 


Terdapat sehingga dua tangki bahan api hidrogen, masing-masing memiliki kapasiti storan sehingga 40 kg, dan setiap satunya mampu membenarkan jarak operasi sehingga 1,000 km.

Dari segi kuasa, sistem sel bahan api 300 kW dipadankan dengan pek bateri yang mampu menyumbang tenaga tambahan 400 kW dan mempunyai kapasiti sehingga 70 kWh - direka supaya mampu menyalurkan sokongan kuasa ketika memecut membawa muatan, atau menaiki cerun bukit.

Mengikut konsep pra-produksi, Mercedes-Benz GenH2 ini mempunyai dua motor elektrik, setiap satu mempunyai kuasa sekitar 443 hp dan 2,071 Nm (ya, 2 ribu!), namun untuk kegunaan seharian, angka tersebut diturunkan kepada 308 hp dan 1,577 Nm sahaja.

Walaupun ia secara teknikalnya merupakan  model konsep,  Mercedes-Benz telah mengesahkan GenH2 bakal memasuki produksi tidak lama lagi.

 

eActros LongHaul


Selain daripada itu, Mercedes-Benz juga turut sama memperlihatkan model eActros Long Haul yang dikuasakan oleh bateri dan mampu menawarkan jarak operasi sejauh 500 km untuk sekali caj penuh.

Tidak banyak informasi didedahkan, namun penggunaan trak eActros Long Haul ini memerlukan pemandu berehat (dan mengecas) dalam tempoh minimum 45 minit setelah melakukan perjalanan 4.5 jam.

eActros LongHaul bakal memasuki produksi menjelang tahun 2024.