Mercedes-Benz EQV - V-Class dengan trenkuasa elektrik, mampu capai 406 km sekali cas penuh!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah pelancaran model pertama EQ, Mercedes-Benz mengorak langkah seterusnya dalam menawarkan model elektrik sepenuhnya, kali ini dalam bentuk van penumpang V-Class, atau Mercedes-Benz EQV.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Van penumpang ini dilancarkan awal sebelum membuat kemunculan rasmi pada acara Frankurt Motor Show 2019 yang dijadualkan berlangsung pada bulan hadapan. 

 


Untuk menggerakkan casis V-Class ini, motor elektrik tunggal berkuasa 201 bhp dan 362 Nm daya kilas memperoleh bekalan tenaga daripada pek bateri berkapasiti 100 kWh. 

Mengikut perkiraan, sekali cas penuh mampu menggerakkan EQV ini sejauh 406 km dan pengecasan pantas mampu mencapai kapasiti 80 peratus dalam masa kurang dari sejam sahaja. 
 


Seperti model EQ yang lain, Mercedes-Benz menggunakan platform tersedia, jadi EQV akan diproduksikan sekali dengan V-Class dan juga model Vito. 

Pun begitu, Mercedes-Benz dengan bijaknya memposisikan pek bateri di lantai van ini, dan dalam masa yang sama ia tidak mengganggu gugat ruang kabin sedia ada. 
 


Mercedes-Benz EQV juga turut dilengkapi dengan sistem infotainmen terkini MBUX dengan skrin bersaiz 10 inci yang boleh dikustom bagi memaparkan informasi berkenaan sistem trenkuasa elektrik yang terpasang. 

Sama seperti konsep e-Pedal yang dibawakan oleh Nissan LEAF, Mercedes-Benz EQV juga sebenarnya boleh dioperasikan tanpa menggunakan langsung pedal brek ketika memandu. 
 


Spesifikasi penuh dan juga harga bakal diketahui dalam masa terdekat, namun harga jualan yang dicadangkan dianggarkan bermula dari £60,000 (RM303,836).