Mercedes-Benz EQS SUV 2023 - 'kembar' EQS Sedan, jarak gerak 600 km

oleh Mohamad Hanif|
Mercedes-Benz baru sahaja melancarkan model pelengkap kepada sedan elektrik EQS, iaitu Mercedes-Benz EQS SUV 2023.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

SUV elektrik berkonfigurasi tujuh tempat duduk itu membawakan segala kelebihan yang ada pada model sedan EQS, namun dengan dimensi yang lebih besar dan ruang dalaman yang jauh lebih luas.

Jika dibandingkan dengan model pesaing seperti Tesla Model X dan BMW iX, Mercedes-Benz EQS SUV adalah lebih tinggi dan panjang, dengan ukuran 5,130 mm, lebar 1,955 mm, tinggi 1,727 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,200 mm - sama seperti model sedan EQS.
 

EQS


Dua varian diperkenalkan pada ketika ini, iaitu versi asas EQS 450 dan EQS 580 4MATIC.

Versi aras mula dilengkapi dengan motor elektrik PSM (Permanently Excited Synchronous Motor) pada gandar belakang yang mampu menjana kuasa 355 hp dan daya kilas 568 Nm, manakala versi 580 4MATIC pula didatangkan dengan motor elektrik berkembar (satu untuk setiap gandar) dengan kuasa gandingan 536 hp dan 858 Nm.

Untuk varian 4MATIC, Mercedes membawakan fungsi Torque Shift yang mampu memastikan pengagihan daya kilas yang pintar dan perubahan yang berterusan antara motor depan dan juga belakang.
 

EQS


Pek bateri pula berkapasiti 107.8 kWh secara standard yang diposisikan pada bahagian lantai, dengan jarak operasi sejauh sehingga 600 km, tidak seperti EQS sedan yang mampu mencapai jarak sehingga 770 km.

Sistem pengecasan pantas DC 200 kW membolehkan kapasiti bateri diisi dari 10 hingga 80 peratus dalam tempoh 31 minit sahaja, atau penambahan jarak sebanyak 300 km dalam masa 15 minit sahaja.

Untuk ruang kabin, apa jua teknologi canggih yang ada pada versi sedan turut dimuatkan pada EQS SUV, seperti skrin infotainmen 12.8 inci dan skrin paparan kluster instrumen 12.3 inci, atau ciri MBUX Hyperscreen sebesar 56 inci yang ditawarkan secara opsyen untuk varian 580 4MATIC.
 

EQS


Sistem infotainmen itu tadi boleh memuatkan sehingga tujuh profil pengguna pada satu-satu masa yang turut disokong dengan sistem pengimbas cap jari pada konsol tengah.

Selain itu, ia juga hadir dengan bumbung panorama, tempat duduk berventilasi dengan ciri pemanas, opsyen tempat duduk baris ketiga, serta sistem infotainmen untuk penumpang belakang yang menampilkan dua tablet 11.6 inci mudah alih.
 

EQS


Secara standard, SUV EQS ini didatangkan dengan sistem suspensi udara AIRMATIC dengan Adaptive Damping System, pemilihan mod pemanduan DYNAMIC SELECT, sistem stereng gandar belakang 10 darjah, serta ciri keselamatan menyeluruh termasuklah Driver Assistance Package, Active Distance Assist, kawalan jelajah adaptif, bantuan pengekalan lorong, bantuan stereng aktif, PRE-SAFE PLUS dan PRE-SAFE Impulse Side.

Harga jualan belum didedahkan secara rasmi, namun sebagai perbandingan, Mercedes-Benz EQS Sedan dijual pada harga bermula dari $102,310 (RM435,278).