Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC - CKD Pekan, 449 hp, 828 Nm, jarak 696 km, dari RM648,888

oleh Mohamad Hanif|
Selepas pelancaran sedan elektrik Mercedes-Benz EQS pada pertengahan tahun lepas, Mercedes-Benz Malaysia hari ini mengumumkan operasi pemasangan model EQ yang pertama di Malaysia, iaitu Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC.

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Mercedes-Benz Production Plant, Pekan, Pahang.

Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC merupakan varian EQS yang lebih berkuasa, dan boleh didapati bermula pertengahan Mac ini.
 

EQS


Ia membawakan konfigurasi dua motor elektrik yang mampu menjana kuasa setinggi 449 hp dan daya kilas 828 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.8 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 210 km/j.

Dari segi pemanduan, EQS 500 4MATIC mampu mencapai jarak gerak sehingga 696 km untuk sekali cas penuh (data kitaran WLTP), disumbangkan oleh rekaan sedan yang aerodinamik dengan kadar pekali seretan Cd serendah 0.20.

EQS 500 4MATIC menyokong pengecasan pantas DC 200 kW, dengan hanya mengambil masa kira-kira 31 minit dari 10 hingga 80 peratus.
 

EQS


Pengecasan AC 11 kW di stesen pengecasan umum atau Mercedes-Benz Wallbox membolehkan bateri dicas selama 10 jam dari 10 hingga 100 peratus.

Untuk varian baharu ini, Mercedes membawakan kemasan luaran Electric Art yang menampilkan rim aloi ringan bersaiz 20 inci, kemasan jeriji berlogokan bintang Mercedes,  kemasan dalaman Electric Art, sistem pencahayaan ambien, roda stereng balutan kulit nappa, paddle shifter bergalvani, serta trim kayu anthracite yang membawakan keseimbangan dari segi keselesaan dan kemewahan.

Sistem paparan MBUX Hyperscreen dengan tiga paparan berasingan itu turut membuat kemunculan pada EQS 500 4MATIC, selain menyokong kamera 360 darjah, Apple CarPlay & Android Auto, dan fungsi Active Parking Assist.
 

EQS


Sedan mewah elektrik ini turut didatangkan dengan sistem stereng gandar belakang, suspensi adaptif, serta ciri keselamatan Driving Assistance Plus Package yang merangkumi Active Distance Assist DISTRONIC, Re-start, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, sokongan manuver evasif, PRE-SAFE, serta pakej perlindungan URBAN GUARD.

Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC 2023 dijual pada harga bermula dari RM648,888 (atas jalan tanpa insurans, dengan pengecualian cukai jualan 0%).

 

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Ya, ia sebuah sedan, namun dengan bentuk badan aneh yang agak mendahului zaman. Kalaulah flux…