Penambahan huruf "SUV" di belakang EQE itu adalah untuk membezakannya dengan sebuah lagi model sedan elektrik E-Class dengan nama serupa yang telah pun dilancarkan sebelum ini.
Walaupun disifatkan sebagai model yang lebih praktikal berbanding sedan EQE, EQE SUV sebenarnya memiliki dimensi yang sedikit kecil.

Ia memiliki ukuran panjang 4,863 mm (132 mm lebih pendek), lebar 1,940 mm (11 mm kurang lebar), tinggi 1,686 mm dengan jarak antara roda 3,030 mm (90 mm lebih pendek).
EQE SUV turut menawarkan ruang kargo sebesar 520 liter, hampir menyamai ruang yang ditawarkan pada model EQC yang tidak dibangunkan berdasarkan senibina EV baharu Mercedes.
Namun menurut Mercedes, jarak antara roda yang lebih pendek itu sebenarnya menyumbang kepada tahap pengendalian yang lebih lincah.

Antara teknologi moden yang dimuatkan termasuklah unit lampu utama Digital Light, runut bunyi palsu baharu yang digelar 'serene breeze' yang lebih menenangkan minda, serta sistem stereng gandar belakang.
Untuk ruang kabin, Mercedes turut menawarkan opsyen naiktaraf kepada sistem paparan gergasi MBUX Hyperscreen yang menyokong kemaskini over-the-air, selain daripada sistem audio Dolby Atmos dan sistem penapisan udara HEPA.

Bergantung kepada pasaran, Mercedes-Benz EQE SUV 2024 ini boleh didapati dalam lima varian yang berbeza, iaitu EQE 350+, EQE 350 4MATIC, EQE 500 4MATIC, serta termasuk dua varian berprestasi tinggi AMG (EQE 43 dan EQE 53).
Versi aras mula EQE 350+ menawarkan konfigurasi motor elektrik tunggal pacuan roda belakang dengan kuasa 288 hp dan 565 Nm, serta pek bateri 90.6 kWh dengan jarak gerak yang mampu mencecah 590 km untuk sekali cas penuh (data WLTP).
Varian EQE 350 4MATIC pula mendapat tambahan motor elektrik pada gandar belakang, dengan jumlah kuasa tork meningkat kepada 765 Nm, pek bateri berkapasiti serupa namun dengan jarak gerak menurun kepada 558 km.
Varian EQE 500 4MATIC juga turut menampilkan sistem pacuan semua roda, namun dengan angka output meningkat kepada 396 hp dan daya kilas 858 Nm, serta jarak gerak sejauh 547 km.
Menariknya, untuk varian 4MATIC motor elektrik gandar depan boleh dimatikan operasinya dibawah beban yang kurang, menjadikan EQE SUV ini sebuah kenderaan dengan sistem pacuan roda belakang sahaja dan bertujuan untuk memanjangkan lagi jarak gerak sedia ada.

Mercedes-Benz EQE SUV mampu menyokong pengecasan maksimum 170 kW, di mana dengan pengecasan pantas selama 15 minit boleh menambah jarak maksimum 220 km.
SUV elektrik EQE ini akan diproduksikan di kilang Mercedes-Benz Tuscaloosa, Alabama, Amerika Syarikat bermula Disember ini.
Harga jualan pula hanya akan diumumkan menjelang pelancaran rasmi dalam masa terdekat.