Mercedes-Benz EQE 350+ 2023 mendarat di Malaysia, dari RM419,888

oleh Mohamad Hanif|
Mercedes-Benz Malaysia meluaskan penawaran sedan elektrik untuk pasaran Malaysia dengan membawakan model kedua, Mercedes-Benz EQE 2023.

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sedan elektrik dalam segmen E itu membawakan banyak persamaan elemen rekaan dengan model sedan EQS.

Antaranya unit lampu utama LED beserta lampu nyalaan siang DRL jenis lED, jeriji hadapan yang kosong tanpa bukaan, diikuti dengan unit lampu belakang melintang penuh.
 

EQE


Tema EQS diteruskan dengan bahagian pemegang pintu yang tertanam kemas, diikuti garis bumbung yang lebih melandai ke belakang - menghilangkan terus rekaan sedan tiga kotak kovensional untuk tujuan aerodinamik yang lebih cekap.

Lebih pendek berbanding EQS, sedan EQE baharu ini membawakan ukuran sepanjang 4,946 mm, lebar 1,906 mm,  dan tinggi 1,512 mm.
 

EQE


Jarak antara roda melebihi tiga meter (3,121 mm) itu juga membolehkan EQE menawarkan ruang kabin yang hampir menyamai ruang kabin abangnya EQS.

Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-Benz membawakan spesifikasi EQE 350+ yang menampilkan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang, dengan kuasa 292 hp dan 565 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 6.4 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 210 km/j.
 

EQE


Pek bateri berkapasiti 90.6 kWh pula membenarkan jarak gerak sejauh 669 km untuk sekali cas penuh.

EQE 350+ turut menyokong pengecasan pantas DC di mana pek bateri itu tadi boleh dicas dari 10-80 peratus dalam tempoh 32 minit sahaja, manakala pengecasan AC 11 kW mampu memakan masa selama 8 jam 15 minit.
 

EQE


Tidak seperti EQS, Mercedes-Benz EQE 2023 didatangkan dengan susun atur papan pemuka yang lebih konvensional, dengan kehadiran skrin paparan kecil untuk pemandu, skrin tengah OLED dengan sistem multimedia MBUX, paparan head-up, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem bunyi keliling Burmester, serta modul komunikasi LTE.

EQE turut didatangkan dengan kemasan dalaman AMG Line, tempat duduk sports, upholsteri ARTICO/MICROCUT, alas lantai AMG, roda stereng sports balutan kulit nappa, sistem pencahayaan ambien, serta tidak ketinggalan slot pengecasan peranti pintar nirwayar.
 

EQE


Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah Active Distance Assist Distronic, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, PRE-SAFE, sistem kamera keliling 360 darjah, sistem pemantauan tekanan tayar, serta sistem panggilan kecemasan.

Harga jualan EQE 350+ 2023 bermula dari RM419,888.