Mercedes-Benz EQB 2021 - lebih berkuasa, praktikaliti sama seperti GLB-Class!

oleh Mohamad Hanif|
Di dalam barisan keluarga SUV Mercedes-Benz, GLB-Class merupakan alternatif kepada mereka yang mahukan sebuah crossover yang lebih praktikal dan lebih luas berbanding GLA-Class, dan ia tidak terkecuali kepada model elektrik terbaharu Mercedes-Benz EQB yang dilancarkan baru-baru ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Mercedes-Benz EQB merupakan model crossover elektrik terkini yang menyertai keluarga EQ Mercedes selepas pelancaran model sedan EQS beberapa hari yang lalu.

Untuk pasaran China, Mercedes-Benz EQB memiliki ukuran panjang 4,684 mm, sedikit panjang berbanding GLB-Class (4,634 mm) akan tetapi mengekalkan jarak antara roda yang sama (2,829 mm).

 


Penampilan EQB dilihat sedikit berbeza daripada kembar ICE-nya, dengan rekaan signatur yang merupakan identiti keluarga EQ seperti contoh panel 'gril' hadapan tertutup, binaan lampu utama LED yang kini bercantum dengan panel gril, serta jalur gentian optik yang menghubungkan lampu nyalaan siang kiri dan kanan.

Sementara rekaan lampu belakang LEd juga turut dihubungkan dengan jalur LED, manakala nombor pendaftaran pula diletakkan pada bahagian bampar.

Rekaan rim bersaiz 20 inci ini adalah eksklusif untuk Mercedes-Benz EQB yang didatangkan dalam kemasan warna biru atau rose gold.

 


Untuk pasaran China, EQB akan ditawarkan dalam versi AMG Line dengan angka output 288 kuasa kuda, namun untuk pasaran lain Mercedes akan menawarkan beberapa konfigurasi pacuan (roda hadapan atau semua roda), angka output, serta pek bateri dengan kapasiti yang berbeza.

Di Eropah, Mercedes-Benz EQB 350 4MATIC mampu menawarkan jarak operasi sehingga 419 km, serta perancangan untuk menambah versi jarak operasi yang lebih jauh pada masa akan datang.

Perincian lanjut berkenaan trenkuasa elektrik ini akan didedahkan menjelang penghujung tahun ini.

 


Memasuki ruang kabin, susun atur papan pemuka dilihat menyamai apa yang ditawarkan pada model GLB-Class, kecuali kemasan trim yang boleh didapati dalam warna rose gold pada corong pendingin hawa, tempat duduk dan key fob.

Unit paparan berkembar itu pula kini hadir dengan sistem MBUX yang menawarkan rekaan grafik yang spesifik untuk model berkuasa elektrik, serta fungsi Electric Intelligence yang mampu mengira jarak terpantas ke sesuatu destinasi berdasarkan keterdapatan stesen pengecasan, topografi dan cuaca.

 


Versi lima tempat duduk menawarkan ruang kargo bermula dari 495 liter hingga 1,710 liter, sementara versi tujuh tempat duduk pula menawarkan ruang sebesar 465 liter hingga 1,629 liter dengan tempat duduk baris ketiga yang boleh dilipat rata.

China bakal mendapat crossover EQB ini pada tahun ini, diikuti Eropah sementara pasaran Amerika Syarikat pula bakal mendapat unit EQB pada tahun 2022.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pihak ST kini sedang menyiasat kes bagi mengenal pasti punca sebenar, dan akan memanggil pihak dan…
Berita Domestik
Dengan harga jualan bermula dari RM328,888, Mercedes-Benz EQB 350 4MATIC merupakan sebuah SUV…
Pelancaran
Ia merupakan SUV mewah pertama berkuasa elektrik yang boleh didapati sebagai sebuah kenderaan…