Mercedes−Benz eEconic, lori elektrik yang semestinya tak ada asap!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Mercedes−Benz eEconic
Mercedes−Benz eEconic
Jika diperhatikan kenderaan berat seperti lori dan bas jenis baharu kurang mengeluarkan asap terutama sekali yang berkeladak dan warna hitam.

Ini sebenarnya menjadi kenyataan disebabkan beberapa faktor seperti kesedaran awam, piawaian, peraturan, teknologi dan pengeluar itu sendiri.

Jika tidak, berada di belakang kenderaan adalah satu perkara yang kurang menyeronokkan.

Bukan salah pemandu tetapi teknologi kenderaan itu sendiri dan kurangnya penyelenggaraan bersesuaian.

Seiring dengan perkembangan teknologi elektrifikasi, tidak lama lagi kita boleh melihat kenderaan berat seperti lori menggunakan bateri untuk bergerak.

Kenderaan berat yang menggunakan bateri bukan satu perkara asing kerana sudah lama bas elektrik beroperasi di bandar-bandar di serata dunia.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Mercedes−Benz eEconic

 

Selepas ini giliran lori berat pula apabila pengeluar lori mengeluarkan model masing-masing.

Terbaru Mercedes-Benz Trucks bakal menguji secara intensif lori elektrik eEconic untuk operasi majlis perbandaran. 

eEconic hampir siap dibangunkan dan kali ini jurutera ujian mahu menilai beberapa perkara seperti keselamatan lori, prestasi dan ketahanan.

Turut dinilai dan perlu dibuktikan ialah bateri dan nadi elektrik pada musim panas dan sejuk.

Banyak lagi sebenarnya yang perlu diuji seperti pengukuran bunyi, keserasian elektromagnetik (EMC) dan pandu uji di jalan kasar.

 

Mercedes−Benz eEconic

 

Selepas siap kesemua ujian, eEconic akan diuji pula oleh pelanggan di dalam operasi dunia sebenar.

Nampak seperti makan masa lama tetapi Mercedes-Benz mensasarkan untuk memulakan pengeluaran eEconic pada setengah tahun kedua 2022.

Dibangunkan untuk operasi majlis perbandaran

eEconic dibangunkan dengan pelbagai ciri-ciri yang mesra bandar. Sebagai contoh cermin depan yang luas dari kabin DirectVision cab.

Bersama kerusi posisi rendah, pemandu dapat melihat secara terus pengguna jalan raya lain selain keseluruhan pandangan yang sangat bagus.

Nak masuk dan keluar kabin pun mudah, jenis lantai rendah dan ruang dalam juga luas dengan kapasiti sehingga empat penumpang. 

 

Mercedes−Benz eEconic

 

Kongsi komponen dengan lori tugas berat eActros

Mercedes-Benz memperkenalkan lori elektrik eActros pada Jun 2021 dan eEconic berkongsi unit pacuan dengan lori tugas berat (heavy duty) itu.

eEconic menggunakan gandar elektrik dengan dua motor elektrik bersepadu dan transmisi dua kelajuan.

Sebelum itu, eEconic ini digunakan untuk apa oleh majlis perbandaran?

Pada peringkat awal, eEconic dengan berat kasar 27 tan dilancarkan sebagai lori sampah dan menggunakan roda 6x2/NLA.

Berkenaan bateri, eEconic dilengkapi dengan jenis tiga pek dan setiap satu mempunyai kapasiti tenaga sekitar 105 kWh.

 

Mercedes−Benz eEconic

 

Dari segi kuasa, kedua-dua motor sejukan cecair menghasilkan output berterusan sebanyak 330 kW dan output maksimum 400 kW.

Selepas habis tugas, bateri eEconic boleh dicas sehingga 160 kW di depot pelanggan. 

Apa kelebihan lori seperti ini? Jika lori moden sudah kurang asap, lori elektrik pula langsung tidak mengeluarkan asap dan bunyi jauh lebih senyap.

Kurang pencemaran alam sekitar dan bunyi. Sesuatu yang ironi sebenarnya, lori sampah tetapi teknologinya bersih!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Mercedes−Benz eEconic