Mercedes-Benz eActros - motor elektrik berkembar, 536 hp, jarak operasi 400 km

oleh Mohamad Hanif|
Mercedes-Benz akhirnya secara rasmi melancarkan trak berkuasa elektrik eActros yang direka untuk memenuhi keperluan tugas berat dalam jarak radius yang sederhana.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Spesifikasi eActros turut didedahkan sama, di mana ia hadir dengan konfigurasi motor elektrik sejukan cecair yang dipasang pada gandar belakang dan memiliki keupayaan untuk menghasilkan kuasa berterusan 442.5 hp atau kuasa sehingga 536 hp yang dipadankan dengan transmisi dua kelajuan.

Disebabkan kedudukan motor pada bahagian gandar, ruang tengah eActros boleh digunakan untuk menempatkan pek bateri trak ini.

 


Terdapat dua konfigurasi pek bateri yang ditawarkan, iaitu tiga atau empat pek bateri berkapasiti 105 kWh setiap satu, bermakna sesebuah eActros boleh dilengkapkan dengan pek bateri berkapasiti sehingga 420 kWh.

Disebabkan ia digunakan untuk tujuan pengangkutan tugas berat, Mercedes menyatakan jarak operasi eActros boleh mencapai 400 km untuk sekali cas penuh.

Sistem pengecasan eActros mampu menyokong sehingga 160 kW, dan dengan menggunakan pengecas DC 400A kapasiti pek bateri boleh diisi dari 20 peratus hingga 80 peratus dalam tempoh satu jam sahaja.

 


Namun begitu, Mercedes-Benz turut melengkapkan trak eActros dengan sistem brek regeneratif bertujuan untuk menambah jarak operasi trak ini.

Setiap eActros didatangkan dengan ciri Multimedia Cockpit Interactive yang akan memaparkan data kritikal seperti status pengecasan, status bateri, jarak operasi yang masih tersisa, serta kadar penggunaan tenaga semasa dan purata.

Pengurusan armada sesebuah syarikat juga dipermudahkan dengan ciri Fleetboard di mana pengurusan armada boleh meneliti data secara masa nyata seperti lokasi setiap kenderaan, status pengecasan atau bateri semasa, serta mengakses data log yang memaparkan informasi terperinci berkenaan masa pemanduan, masa berhenti dan masa pengecasan.

 


Aspek keselamatan eActros merangkumi ciri-ciri moden seperti brek kecemasan automatik Active Brake Assist dengan pengesan pejalan kaki, serta sistem amaran Acoustic Vehicle Alerting System (AVAS) untuk pejalan kaki dan penunggang basikal.

eActros hadir dengan perlindungan remuk khas pek bateri daripada bahan aluminium serta kehadiran penderia yang bertujuan untuk melindungi pek bateri daripada sebarang insiden yang tidak diingini, terutama ketika pelanggaran sisi.

 


Selain daripada itu, Mercedes-Benz juga turut menawarkan perkhidmatan integrasi ekosistem dan penyelesaian digital bagi memudahkan syarikat-syarikat logistik beralih kepada penggunaan trak elektrik.

Seperti contoh, Mercedes-Benz akan menggunakan data perjalanan pelanggan sedia ada dan kemudian mencipta sebuah profil pengguna yang lebih sesuai digunakan untuk sebuah trak elektrik, atau memudahkan urusan pelanggan dalam melaksanakan elektrifikasi atau pemasangan fasiliti pengecasan di depot trak.