Mercedes-Benz dedah interior C-Class EV - Hyperscreen 39.1 inci jadi tumpuan

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Mercedes-Benz mula membuka tirai bagi model elektrik terbaharunya, Mercedes-Benz C-Class EV, beberapa hari sebelum pelancaran rasmi global pada 20 April.

Model yang bakal dikenali sebagai C-Class dengan teknologi EQ itu tampil dengan kabin futuristik berasaskan paparan digital penuh, sekali gus meletakkannya setaraf dengan SUV elektrik lebih besar seperti Mercedes-Benz GLC EV.

Paling mencuri perhatian sudah tentu sistem paparan MBUX Hyperscreen bersaiz 39.1 inci yang merentasi keseluruhan papan pemuka. 

Ia menggabungkan kluster instrumen digital, skrin infotainmen tengah dan paparan penumpang dalam satu panel besar, memberikan pengalaman pemanduan yang lebih imersif dan berteknologi tinggi. 

 

2

 

Di bahagian konsol tengah pula, terdapat dua pengecas tanpa wayar serta beberapa butang fizikal penting untuk fungsi seperti mod pemanduan, kamera parkir dan kawalan audio.

Dari segi kejuruteraan, C-Class EV dibina atas platform 800V MB.EA, yang turut digunakan oleh GLC EV, platform itu dijangka membolehkan jarak pemanduan sekitar 724 km, menjadikannya pesaing terus kepada BMW i3 dalam segmen sedan elektrik premium.

Kualiti dalaman turut dipertingkat dengan penggunaan material premium seperti kulit Nappa dan juga pilihan kulit vegan, satu langkah ke arah kelestarian yang semakin menjadi trend dalam industri automotif.

Tempat duduk baharu turut direka untuk keselesaan jarak jauh, lengkap dengan sokongan lumbar elektro-pneumatik yang menyesuaikan bentuk sandaran mengikut tulang belakang pemandu. 

 

3

 

Fungsi pemanas, ventilasi dan urutan turut disediakan, menjadikan pengalaman pemanduan lebih relaks dan premium.

Bagi varian tertinggi, sistem audio Burmester 4D Surround Sound System turut ditawarkan, menariknya, sistem itu menggunakan “exciters” pada tempat duduk untuk menghasilkan getaran bass.

Mercedes turut memberi penekanan terhadap kesenyapan kabin, dengan penggunaan tingkap berlamina, motor elektrik yang diperhalusi, serta sistem penghawa dingin baharu. 

 

4

 

Struktur badan yang lebih rigid dan reka bentuk aerodinamik juga membantu mengurangkan bunyi serta getaran ketika pemanduan.

Menurut CEO Mercedes-Benz, Ola Källenius, model itu merupakan C-Class paling luas dan paling pintar pernah dihasilkan, dengan peningkatan menyeluruh dari segi kualiti, keselesaan dan teknologi.

 

Sumber: Autocar

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Model ini menjadi antara produk penting dalam sambutan ulang tahun “140 Years of Innovation”…
Berita Global
Lebih 25 peratus komponen dalam EQS baharu telah dibangunkan semula atau ditambah baik, termasuk…
Model Terbaharu
Ditawarkan dalam dua varian iaitu Mercedes-Benz GLA 200 Nightfall Edition dan Mercedes-Benz GLA 250…