Mercedes-Benz CLA Shooting Brake, hadir dengan gaya dan praktikaliti

oleh Muhammad Md Tajudin|
Mercedes-Benz berjaya meremajakan produk keluarannya melalui A-Class generasi ketiga. Model yang pada asalnya bermula dengan reka bentuk tinggi dan membujur kini menjadi sebuah kereta hatchback premium.

A-Class generasi ketiga juga berjaya membuka pintu Mercedes-Benz untuk lebih banyak demografik, daripada anak muda hinggalah kepada kaum wanita.

Melalui kejayaan A-Class generasi ketiga, Mercedes-Benz terus melangkah jauh dengan beberapa model seperti A-Class sedan.

Kemudian Mercedes-Benz memperkenalkan sebuah lagi sedan dikenali sebagai CLA Coupé.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Mercedes-Benz CLA Shooting Brake

 

Satu perkara menarik apabila kedua-dua A-Class sedan dan CLA Coupé adalah kereta penumpang. Jadi apa perlu dua buah model penumpang yang hampir sama?

Jawapan paling mudah ialah CLA Coupé khusus untuk pembeli yang mahukan sedan dengan bentuk lebih sporti dan berkuasa.

Jika itu tidak cukup, Mercedes-Benz memperkenalkan pula CLA Shooting Brake.

Tidak seperti A-Class sedan yang baru sahaja dipasarkan, CLA Shooting Brake sebenarnya sudah memasuki generasi kedua malah generasi pertama dahulu pernah dibawa ke pasaran tempatan dalam jumlah terhad.

Pengimport bebas turut membawa masuk CLA Shooting Brake ke pasaran tempatan.

 

Mercedes-Benz CLA Shooting Brake

 

CLA Shooting Brake tetap membawa pengaruh CLA Coupé cuma bezanya ialah kereta ini lebih praktikal untuk membawa barangan atau ke pusat membeli belah.

Bahasa mudahnya ialah, beli Mercedes-Benz biar muat basikal sebelum dibawa untuk mengayuh ke Genting Sempah atau pun membeli perabot IKEA.

Berikut ialah beberapa ciri Mercedes-Benz CLA Shooting Brake:

  • Pelancaran pasaran pada bulan September
  • Dikilangkan di Hungary
  • Menggunakan platform sama seperti A-Class dan CLA
  • Tawaran enjin penuh belum didedahkan kecuali varian CLA 250 2.0 liter berkuasa 225 hp dan 350 Nm
  • Enjin CLA 250 dipadan bersama transmisi 7G-DCT
  • Turut ditawarkan ialah enjin 1.5 diesel dan 1.6 petrol
  • Padanan transmisi manual atau klac berkembar
  • Pilihan pacuan FWD atau AWD 4MATIC
  • Ruang bagasi sebanyak 505 liter
  • Sistem infohibur MBUX terkini dengan arahan suara Hey Mercedes dan panel paparan digital

 

Mercedes-Benz CLA Shooting Brake

 

Berkenaan harga pula, Mercedes-Benz CLA Shooting Brake ini dijangka lebih mahal berbanding CLA Coupé dan selari dengan beberapa perbezaan yang ada.

Untuk pasaran tempatan pula berdasarkan rekod lalu rasanya sukar untuk model ini ditawarkan. Lagi pula pasaran kereta mewah dalam bentuk wagon atau shooting brake ini begitu kecil.

Tidak kisah apa pun, apa yang pasti ialah Mercedes-Benz CLA Shooting Brake dalam warna kuning ini memang nampak menarik!

Penulis: Muhammad Md Tajudin