Pesaing kepada BMW 2 Gran Coupe itu hadir buat pertama kali sebagai model EV yang berada di luar dari barisan model EQ.
Dari segi kuasa, model asas CLA dilengkapi enjin M252 1.5 liter empat silinder dipadankan dengan transmisi dwi-klac DCT lapan kelajuan bersama teknologi 48-volt mild-hybrid.

Mercedes juga akan menawarkan enjin ini dalam dua tahap kuasa dan dua pilihan pacuan sama ada pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda.
Untuk varian EV, terdapat dua pilihan yang ditawarkan iaitu CLA 250+ EQ Technology dan CLA 350 4Matic EQ Technology.
CLA 250+ hadir dengan motor elektrik tunggal pada roda belakang, menghasilkan 268 HP dan 334 Nm dengan kemampuan memecut dari 0-100 kmj dalam masa 6.6 saat.

CLA 350 4Matic pula hadir dengan motor elektrik berkembar di roda hadapan dan belakang, menghasilkan 349 HP dan 515 Nm dengan kemampuan memecut dari 0-100 kmj dalam masa 4.8 saat.
Kedua-duanya dilengkapi transmisi dua kelajuan dan pek bateri nikel-mangan-kobalt (NMC) 86 kWj, membolehkan jarak gerak 792 km untuk CLA 250+ dan 771 km untuk CLA 350 4Matic.
CLA baharu itu juga dilenkapi pengecasan pantas DC 800 volt yang menyokong pengecasansehingga 325 kW, membolehkan penambahan jarak 325 km dalam masa 10 minit sahaja.

Masuk kepada reka bentuk luaran, Mercedes terus membawakan bahasa rekaan terbaharunya dengan dimensi yang lebih besar berbanding generasi CLA terdahulu.
CLA baharu kini hadir dengan dimensi 4,722 mm panjang, 1,854 mm lebar 1,468 mm tinggi dan jarak roda 2,788 mm.
Bagaimanapun CLA masih mengekalkan rekaan sedan tradisional dan bukan fastback yang lebih praktikal, bentuknya yang lebih aerodinamik dengan pekali seretan 0.21 cd.

Pada bahagian dalaman pula jelas pembaharuan yang dibuat dengan rekaan papan pemuka menampilkan sehingga tiga skrin digital dikelilingi oleh kemasan hitam berkilat.
Panel instrumen digital berukuran 10.25 inci, manakala skrin infotainmen bersaiz 14 inci hadir sebagai standard, selain itu skrin 14 inci untuk penumpang hadapan turut hadir sebagai pilihan tambahan.
Dikenali sebagai MBUX Superscreen, susunan skrin itu menyerupai model aras tinggi Mercedes yang mempunyai papan pemuka penuh dengan paparan digital.

Mercedes juga menawarkan paparan HUD 12.2 inci, serta sistem bunyi premium Burmester dengan 16 pembesar suara di seluruh kabin.
Meningkatkan lagi kualiti pemanduan, CLA baharu hadir dengan suspensi belakang multi-link yang diambil daripada model lebih besar untuk meningkatkan keselesaan.
Menariknya menjelang akhir tahun ini, Mercedes turut merancang untuk melancarkan varian CLA elektrik dengan bateri lithium-iron-phosphate (LFP) 58 kWh yang lebih murah.

Mercedes juga tidak akan menghasilkan model sedan A-Class baharu, sementara peminat wagon di Eropah masih boleh mendapatkan CLA versi Shooting Brake.
Selain CLA, model SUV GLA dan GLB juga akan menerima model generasi baharu, dengan versi elektrik sepenuhnya.