Mercedes-Benz C111/II - kereta sports dengan enjin rotari empat rotor!

oleh Mohamad Hanif|
Tahun 1970, tidak lama selepas Mazda memperkenalkan model eksperimentasi bernadikan enjin Wankel iaitu Mazda Cosmo 1963, giliran Mercedes-Benz pula memperlihatkan model konsep yang tersendiri.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pada acara Geneva Motor Show, Mercedes telah mengejutkan dunia dengan model C111 - sebuah model konsep dengan bukan satu, akan tetapi tiga nadi yang berbeza iaitu nadi bentangan V8, diesel dan nadi Wankel empat rotor!
 


Selain daripada eksperimentasi terhadap nadi Wankel, model C111 juga turut menjadi medan ujian beberapa ciri lain seperti sistem suspensi multilink, pintu jenis gull-wing, interior mewah dan juga sistem pendingin hawa. 

Enjin Wankel yang digunakan diberikan kod nama M9550F, memiliki konfigurasi empat rotor bersesaran 2.4 liter yang mampu menjana 350 kuasa kuda dan 392 Nm daya kilas serta digandingkan dengan transmisi manual lima nisbah kelajuan. 
 


Tatkala kebanyakan kenderaan pada era tersebut masih lagi direka menggunakan tangan, Mercedes C111 merupakan kereta pertama di dunia yang direka sepenuhnya menggunakan teknologi komputer dan sedikit sebanyak mengurangkan tempoh pembangunan sebanyak empat bulan berbanding model konvensional.

Idea disebalik C111 ini bukanlah untuk menghasilkan sebuah kereta sports yang mewah, sebaliknya sebuah kereta sports yang diposisikan di bawah Mercedes-Benz 280SL Pagoda. 


 


Sebanyak 16 unit sahaja dibina oleh Mercedes, dan 13 unit daripadanya dikuasakan oleh enjin Wankel 2.4 liter itu tadi. 
Manakala selebihnya didatangkan dengan dua nadi yang berbeza:

  • C111-IID - nadi diesel OM617 turbo (228 kuasa kuda), rekod terpantas 322 km/j di Nardo Ring
  • C111 - nadi V8 4.8 liter KKK turbo (500 kuasa kuda), rekod terpantas 403.75 km/j di Nardo Ring

 


Jika anda perasan, ruang belakang di atas enjin turut didatangkan dengan pakej ruang kargo yang agak unik, dan mampu memuatkan sehingga tiga beg pakaian pada satu-satu masa. 

Malangnya, walaupun Mercedes-Benz sudah pun menerima wang pendahuluan daripada mereka yang berminat, krisis minyak dunia pada ketika itu memaksa pengeluar tersebut menghentikan produksi C111.