Mercedes-Benz C-Class 2022 - sebuah S-Class dalam pakej yang lebih mampu milik

oleh Mohamad Hanif|
Sedan Mercedes-Benz yang paling laris terjual (10.5 juta unit) semenjak diperkenalkan pada tahun 1982 itu kini menerima generasi baharu menerusi pelancaran rasmi yang berlangsung sebentar tadi.
Modenas

Tidak seperti pesaingnya, Mercedes-Benz mengambil jalan yang selamat dengan mengimplementasikan bahasa rekaan yang sama digunakan pada model C-Class ini, diikuti dengan lampu utama yang lebih tajam, profil sisi yang lebih bersih dan lampu belakang jenis two-piece, pertama seumpamanya untuk sebuah C-Class.

Untuk generasi kali ini, Mercedes-Benz C-Class ditawarkan dalam dua bentuk badan, sedan dan juga station wagon.

 


Seperti yang diperlihatkan sebelum ini, generasi baharu C-Class 2022 membawakan elemen rekaan kabin yang sama terdapat pada model yang lebih besar S-Class, iaitu kehadiran skrin infotainmen bersaiz 11.9 inci dan skrin kluster digital 12.3 inci.

Model asas pula dijangka menggunakan skrin paparan 10.25 inci diikuti oleh skrin tengah bersaiz 9.5 inci yang lebih kompak.  

Dari segi dimensi, C-Class serba baharu ini memiliki ukuran 65 mm lebih panjang, dan 10 mm lebih lebar berbanding model terdahulu, dan dengan jarak antara roda yang lebih panjang 25 mm, ia menjadikan ruang kabin lebih luas, terutama pada ruang kepala, ruang siku, dan ruang bahu, sementara penumpang belakang kini boleh menikmati ruang kaki yang lebih luas.

 


Mercedes-Benz C-Class tidak mengenepikan soal praktikaliti, apabila generasi baharu menawarkan ruang kargo sebesar 455 liter, sementara model station wagon C-Class pula mempunyai ruang sebesar 490 liter dan boleh diperbesarkan sehingga 1,510 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Tiada lagi penggunaan enjin pembakaran dalaman konvensional, sebaliknya trenkuasa hibrid kini menguasai segenap varian C-Class.

Varian asas C 180 kini didatangkan dengan enjin 1.5 liter pacuan roda belakang dengan kuasa 167 hp dan 250 Nm, dan bantuan integrated starter-generator (ISG) yang menawarkan boost 20 hp dan 200 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 8.6 saat.  

Sementara varian C 200/C 200 4MATIC turut menggunakan enjin 1.5 liter yang serupa, dengan kuasa 201 hp dan 300 Nm, bantuan ISG dan pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam tempoh 7.3 saat (sedan RWD) dan 7.5 saat (wagon RWD), sementara varian 4MATIC pula mampu memecut sepantas 7.1 saat.

 


Versi plug-in hybrid C 300e pula didatangkan dengan enjin 2.0 liter dan padanan motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 308 kuasa kuda dan 550 Nm, serta pek bateri 25.4 kWh yang membenarkan jarak operasi sifar emisi sejauh 100 km (data WLTP).

Untuk pasaran Amerika pula, C-Class didatangkan dalam varian tunggal C 300 dengan enjin 2.0 liter turbo menghasilkan 255 hp dan 400 Nm, sistem ISG, pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat dan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 209 km/j.

C-Class PHEV ini ternyata istimewa apabila ia merupakan satu-satunya model yang dilengkapi dengan sistem suspensi udara secara standard, serta ruang kargo yang lebih besar disebabkan posisi pek bateri yang telah dialihkan.

 


Selain daripada ciri yang disebutkan di atas, Mercedes-Benz juga turut menawarkan ciri opsyen stereng gandar belakang untuk C-Class, bertujuan untuk mengurangkan radius putaran kepada 10.64 meter.

Dengan ciri ini, sudut tayar untuk gandar belakang adalah 2.5 darjah, atau empat kali lebih kecil berbanding sistem yang terdapat pada S-Class.

Setakat ini tiada sebarang harga jualan didedahkan, namun Mercedes-Benz C-Class 2022 ini akan mendarat di pengedar Amerika Syarikat menjelang tahun hadapan.

 

Add new comment

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
Tidak seperti model terdahulu, Mercedes-Benz C 200 Coupe AMG Line kini hadir dengan nadi 2.0 liter…
Model Terbaharu
Penawaran varian 2.0 liter ini adalah bagi menggantikan ruang yang ditinggalkan oleh varian C 200…
Berita Global
Sebagai contoh, wagon sudah lama muncul sebagai sebuah kenderaan yang mampu memuatkan lima orang…