Boleh didapati dalam dua varian, iaitu C 200 Avantgarde Line dan juga C 300 AMG Line, C-Class generasi baharu boleh disifatkan sebagai S-Class mini dengan penampilan yang lebih dinamik serta ciri yang dipertingkatkan.
Dari segi luaran, C-Class 2022 membawakan elemen rekaan yang hampir serupa dengan S-Class yang telah pun dilancarkan sebelum ini, dibantu dengan kombinasi jarak overhang depan yang pendek, serta jarak antara roda yang lebih panjang.
Secara standard, C-Class generasi baharu ini didatangkan dengan rim lima jejari bersaiz 18 inci, serta lampu LED dengan bantuan suluhan tinggi adaptif, sementara varian yang lebih premium C 300 pula didatangkan dengan pakej luaran AMG Line, rekaan gril bercorak Mercedes-Benz, rim AMG multi-spoke bersaiz 19 inci, serta sistem brek yang lebih besar.
Rekaan ruang kabin pula membawakan skrin infotainmen tengah bersaiz 11.9 inci, diikuti dengan skrin paparan kluster instrumen pemandu berasingan bersaiz 12.3 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, rekaan corong pendingin hawa bertemakan aviasi, sistem operasi MBUX terkini beserta modul komunikasi LTE, ciri pengimbasan cap jari, serta slot pengecasan nirwayar.
Varian C 200 Avantgarde Line mendapat balutan upholsteri ARTICO warna hitam atau sienna brown/black, sementara C 300 AMG Line pula turut mendapat penawaran yang serupa, akan tetapi terdapat pilihan warna dua tona sienna brown/black dengan perehat kepala berwarna hitam.
Untuk varian C 200 Avantgarde Line, ia dikuasakan oleh nadi empat silinder sebaris 1.5 liter turbo yang mampu menjana kuasa setinggi 204 hp @ 5,800 - 6,100 rpm, daya kilas 300 Nm @ 1,800 - 4,000 rpm, dipadankan dengan motor elektrik 15 kW/200 Nm, transmisi 9G-TRONIC, sistem suspensi Agility Control, mod pemanduan Dynamic Select serta bantuan Integrated Starter Generator (ISG).
Sementara varian C 300 AMG Line pula mendapat enjin 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan 258 hp @ 5,800 rpm, daya kilas 400 Nm @ 2,000 - 3,200 rpm, motor elektrik 15 kW/200 Nm, padanan transmisi yang sama beserta ISG, serta suspensi Agility Control dengan sistem peredam selektif.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 7.3 saat (6 saat untuk C 300) sementara kelajuan tertinggi pula dihadkan kepada 250 km/j.
Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah pakej Lane Tracking, Active Blind Spot Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Brake Assist, kawalan jelajah, perlindungan pejalan kaki, sistem pemantauan tekanan tayar, serta bantuan parkir aktif.
Manakala varian C 300 AMG Line pula mendapat kelengkapan tambahan berupa sistem kamera keliling 360 darjah.
Harga jualan (atas jalan tanpa insurans) untuk kedua-dua unit import (CBU) ini bermula dari RM288,334.11 untuk varian C 200 Avantgarde Line, sehingga RM330,681.08 untuk varian C 300 AMG Line, termasuk cukai jualan 5 peratus.