Tidak seperti model terdahulu, Mercedes-Benz C 200 Coupe AMG Line kini hadir dengan nadi 2.0 liter turbo empat silinder sebaris yang mampu menghasilkan 204 kuasa kuda dan daya kilas 300 Nm.
Dengan padanan sistem transmisi 9G-Tronic automatik sembilan nisbah kelajuan, Mercedes-Benz C 200 Coupe AMG Line mampu memecut sepantas 7.2 saat dari 0-100 km/j dengan kelajuan maksimum 245 km/j.
Dari segi luaran, C 200 Coupe ini membawakan pakej AMG Line yang sporti, diikuti dengan pemasangan rim AMG bersaiz 18 inci, serta trim hitam pada sesetengah tempat.
Sementara ruang dalaman juga turut membawakan ciri AMG Line seperti upholsteri kulit Artico, roda stereng balutan kulit Nappa, paddle shifter bergalvani, pedal sport AMG serta alas kaki AMG.
Mercedes-Benz C 200 Coupe AMG Line kini membawakan ciri sambungan Mercedes me connect (MMC) yang membolehkan pemilik untuk memulakan operasi kenderaan, atau sekadar memeriksa status dengan hanya menggunakan peranti pintar sahaja.
Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah sistem panggilan kecemasan Mercedes-Benz (E-Call), diagnosis kenderaan jarak jauh, sistem kawalan iklim pra-kemasukan, sisten navigasi prediktif dan penentu lokasi parkir.