Kursus bertempoh tiga tahun ini merangkumi pelbagai silibus dan garis panduan latihan yang telah diluluskan oleh Mercedes-Benz Global Training, selain menggabungkan Kelayakan Antarabangsa sehingga Tahap 3 dan diiktiraf sendiri oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia.
Sejak 1984, program ini sudah pun melahirkan lebih daripada 900 orang graduan dan kini sedang bekerja dengan jaringan pengedar Mercedes-Benz di dalam pelbagai jawatan merentasi pengkhususan yang berbeza.
Malah, program ini secara purata telah menerima 500 permohonan setahun sejak tahun 2017.
Menurut Sagree Sardien, Presiden dan CEO Mercedes-Benz Malaysia berkata, "Menerusi program Mercedes-Benz Global Training, ia merupakan satu platform yang baik untuk kami merekrut, memupuk dan membangunkan bakat yang akan menjadi sebahagian daripada tenaga pakar dalam membawakan pengalaman runcit mewah kepada para pelanggan kami.
"Terdapat permintaan yang tinggi di peringkat nasional untuk bakat berkemahiran tinggi di dalam industri automotif, dan menerusi program perantis ini, kami mampu menawarkan peluang dan kerjaya kepada rakyat Malaysia.

Selari dengan perkembangan semasa yang kini beralih kepada kenderaan elektrik, Mercedes-Benz turut membangunkan satu profil baharu untuk Pakar Kenderaan Elektrik yang dikenali sebagai Experts in High Voltage (EVH) yang akan membuat kemunculan pada tahun ini.
Silibus baharu ini akan ditambah ke dalam modul pengajaran sedia ada sebagai sebahagian daripada usaha jenama itu untuk melatih dan melengkapkan para pelatih supaya bersedia dengan tuntutan mobiliti pada masa akan datang.
Menjelang akhir program Advanced Modern Apprenticeship ini, peserta akan mendapat pensijilan di dalam NDTS Level 3, C&G VRQ Level 3, Juruteknik Penyelenggaraan Berkelayakan (QMT), Juruteknik Sistem Berkelayakan (QST)/Penasihat Servis Bertauliah (QSA)/Pakar dalam Voltan Tinggi (EHV) bergantung kepada pengkhususan yang dipilih.
Program ini juga turut memberikan jaminan pekerjaan selepas tamat graduasi dengan jaminan gaji minimum pada tahun pertama diikuti dengan peluang tambahan selepas itu.
Keseluruhan kursus ini akan diadakan di Mercedes-Benz National Training Academy di Bandar Kinrara, Puchong.
Permohonan kini dibuka mulai sekarang sehingga 31 Julai 2022 dengan syarat minimum kelayakan 3 kredit di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setara dengan kelulusan di dalam Bahasa Inggeris.
Lebih banyak maklumat boleh didpaati menerusi Hari Terbuka Mercedes-Benz Malaysia Training Academy yang akan dianjurkan pada 25 Jun 2022, bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari di Wisma Mercedes-Benz, atau dengan melayari laman web mb4.me/AMA atau emel [email protected].