Mercedes-Benz A 250 e bakal muncul September ini - mampu capai 60 km dalam mod EV

oleh Mohamad Hanif|
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
CHERY Omoda 5 NCAP MREC Banner Campaign September 2024

Segmen aras mula Mercedes-Benz, A-Class kini menjadi semakin menarik perhatian kerana pengeluar jenama mewah tersebut kini dilaporkan akan meluaskan lagi penawaran hatchback tersebut dengan penambahan varian baharu. 

Jika sebelum ini A-Class menawarkan varian standard di samping varian berprestasi tinggi A 35 dan A 45 yang bakal menggegarkan dunia dengan enjin serba baharu itu, sumber dalaman Mercedes mendedahkan sebuah lagi penawaran baharu A 250 e bakal ditambah tidak lama lagi. 

Penambahan huruf e pada mana-mana model Mercedes-Benz menunjukkan bahawa model tersebut bakal membawakan ciri plug-in hybrid (PHEV), seperti yang anda lihat pada model C 300 e. 

Baca: Format Penamaan Model Mercedes-Benz

 


Menurut laporan, A 250 e (yang dibangunkan berdasarkan model A 250 sedia ada) akan dikuasakan oleh enjin yang sama 1.3 liter turbo yang mampu menjana 161 kuasa kuda dan 250 Nm, dibantu oleh penggunaan motor elektrik yang mampu menambah 101 hp dan 300 Nm. 

Motor elektrik tersebut bakal memperoleh sumber kuasanya daripada pek bateri lithium-ion LG Chem berkapasiti 15 kWh yang diposisikan di bawah tempat duduk belakang.

Bagi menampung penambahan kuasa yang disebutkan, Mercedes-Benz A 250 e bakal menggunakan transmisi lapan nisbah kelajuan yang sebelum ini diperkenalkan pada SUV Mercedes-Benz GLB. 
 


Di dalam mod elektrik sahaja, A 250 e mampu mencapai jarak operasi sejauh 60 km mengikut data kitaran gabungan WLTP, dengan halaju maksima dicatatkan pada 140 km/j mengikut laporan Autocar. 

Sistem suspensi sedia ada juga turut ditala semula bagi menampung penambahan beban disebabkan oleh pek bateri itu tadi. 

Mercedes-Benz akan membawakan A 250 e ini secara rasmi pada acara Frankurt Motor Show pada September nanti.