Mercedes-Benz 280SL diubah jadi roadster elektrik, jarak gerak 280 km, kos cuma RM630 ribu

oleh Mohamad Hanif|
Jika anda perasan, trend restomod kereta-kereta klasik menjadi sebuah kenderaan sifar emisi kian mendapat tempat di kalangan peminatnya di luar negara.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024

Bermula daripada kereta sekecil Mini klasik yang dijalankan sendiri oleh MINI, sehinggalah kepada kenderaan off-road Land Rover Defender yang dibuat oleh pihak ECD Automotive Design.
 

SL


Di Amerika Syarikat, sebuah bengkel The Moment Motor Company mula menawarkan khidmat pengubahsuaian kenderaan klasik dengan trenkuasa elektrik dengan menggunakan asas daripada roadster Mercedes-Benz 280SL.

Dibina dan ditawarkan dalam unit terhad, Mercedes-Benz 280SL EV ini merupakan sebahagian daripada projek kereta klasik siri "Signature".
 

280SL


Pihak Moment telah memadankan motor elektrik tunggal tiga fasa berkuasa 300 hp dan 502 Nm, dengan pek bateri 62.0 kWh dan senibina elektrik 400 voltan.

Untuk sekali cas penuh, 280SL EV ini mampu bergerak sejauh 280 km menjadikannya cukup sesuai digunakan untuk pemanduan santai hujung minggu.
 

280SL


Disebalik rupa paras yang kekal klasik itu, pihak Moment telah menaiktaraf beberapa bahagian seperti sistem stereng dan brek berkuasa, fungsi pemanas dan pendingin hawa, serta kluster meter krom yang kini mempunyai penunjuk "kW".

Sebuah skrin kecil turut dipasang pada bahagian bawah untuk informasi seperti kapasiti bateri dan jarak gerak yang tersisa.
 

280SL


Berita baik, jika kebetulan anda mempunyai sebuah 280SL di dalam garaj, pihak Moment hanya memerlukan anda mengeluarkan wang sebanyak $135,000 (RM630,855) untuk kos penukaran trenkuasa elektrik, tidak termasuk opsyen yang berkaitan.