Mercedes-Benz 190E + Mercedes-AMG C63 = Frankenstein Benz!

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Setelah kejayaan dicapai menerusi model Evolution I, pada tahun berikutnya Mercedes-Benz memperkenalkan model prestasi 190E Evolution II, model edisi terhad dengan unit penghasilan hanyalah sekitar 500 buah sahaja. 

190E Evolution II ini dijana dengan enjin empat silinder sebaris 2.5 liter yang mampu menghamburkan 232 hp dan 245 Nm daya kilas, selain menampilkan sistem gantungan SLS boleh laras sepenuhnya. 

Apa yang menjadikan model Evolution II ini unik ialah kehadiran kit badan yang radikal direka oleh Prof. Richard Eppler daripada Universiti Stuttgart, terdiri daripada wing belakang yang cukup besar, spoiler belakang, serta rim aloi bersaiz 17 inci. 
 


Bagi mereka yang ingin menghasilkan replika 190E Evolution II, sudah tentu model standard W201 akan menjadi sasaran bahan modifikasi. 

Namun, kelaziman tersebut nampaknya tidak diamalkan oleh Piper Motorsport, apabila mereka mengambil jalan sukar dengan mengkacukkan dua buah model untuk dijadikan satu hasil yang sangat gila. 

Dua buah model yang disebutkan ialah Mercedes-Benz 190E dan sebuah lagi model yang lebih moden C63 AMG untuk dijadikan sebagai asas binaan Frankenstein Benz ini.
 


Menjalani proses modifikasi yang sangat panjang, maka dipendekkan cerita, 190E Evolution II ini mempunyai sistem trenkuasa, transmisi, sistem gantungan, brek, sistem elektronik dan lantai yang diperoleh daripada C63 AMG. 

Ini juga termasuk membuat fabrikasi kustom bagi memindahkan bahagian atas badan 190E dengan berhati-hati ke atas lantai C63 AMG tadi. 

Sudah tentu mereka tidak menjalankan proses tersebut sambil lewa, maka proses pengukuhan casis dilakukan kembali dengan memuatkan sangkar keselamatan 2x2 yang tersorok dan lain-lain penambahbaikan yang dirasakan perlu. 
 


Walaupun papan pemuka asal daripada W204 muat tanpa sebarang modifikasi, konsol tengah terpaksa direka secara kustom bagi memuatkan transmisi automatik tujuh nisbah kelajuan dan suis tingkap kuasa. 

Memandangkan enjin asal empat silinder sebaris sudah dibuang daerah, pihak Piper Motorsport terpaksa melakukan beberapa perubahan seperti mengubah lokasi penyejuk minyak, kondenser pendingin hawa dan silinder utama brek supaya muat di dalam ruang enjin yang terhad itu. 

Selain daripada melakukan fabrikasi semula terhadap bahagian hadapan, sistem suspensi hadapan juga terpaksa dipendekkan 20 mm untuk dimuatkan ke dalam ruang tersebut. 
 


Akhir sekali, bagi menyalurkan gas-gas pembakaran dengan sempurna, sistem ekzos dibina daripada Modern Horsepower dan Borla. 

Informasi teknikal masih belum didedahkan secara rasmi buat masa ini, namun apa yang pasti, hasil kerja sebegini sememangnya amat mengkagumkan dan hanya hati yang kental sahaja mampu memberikan hasil akhir yang menakjubkan!

Saksikan transformasi hasil perkahwinan adik-beradik Mercedes-Benz ini menjadi sebuah replika 190E Evolution II yang sangat seksi ini menerusi pautan di bawah.

Piper Motorsport: Frankenstein Benz

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Tidak dapat dinafikan, Honda Civic Type R FK8 merupakan antara produk pantas Honda yang berjaya…