Mercedes-AMG SL 43 2023 - roadster aras mula dengan nadi M139 dan teknologi F1

oleh Mohamad Hanif|
Tahun lalu, Mercedes-Benz mengejutkan dunia dengan kehadiran model roadster generasi baharu Mercedes-AMG SL yang ditawarkan dengan dua pilihan output enjin yang amat berkuasa.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Untuk mereka yang lebih menggemari kuasa yang boleh dikawal (dan enjin yang kecil), usah risau kerana Mercedes-AMG kini mempunyai penawaran baharu dalam bentuk Mercedes-AMG SL 43 2023.

Tidak seperti model SL 55 4MATIC+ dan SL 63 4MATIC+ yang masing-masing didatangkan dengan nadi V8, SL 43 AMG pula dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris M139.
 

M139


Dengan kehadiran model SL 43 AMG ini, ia juga merupakan kali pertama model SL didatangkan dengan nadi empat silinder selepas kali terakhir Mercedes berbuat demikian pada tahun 1963.

Nadi M139 2.0 liter ini menggunakan teknologi pengecas turbo gas ekzos elektrik yang diperoleh daripada jentera F1, dan didakwa sebagai ciri pertama seumpamanya untuk sebuah kenderaan produksi.

Sistem ini dijana menggunakan sistem elektrik 48 voltan yang bukan sahaja memberikan rangsangan kuasa segera, ia juga turut bertindak sebagai sistem hibrid ringan (mild-hybrid) yang mampu meningkatkan kadar kecekapan operasi.
 

SL 43


Enjin yang diposisikan menegak ini mampu menghasilkan kuasa setinggi 375 hp @ 6,750 rpm dan daya kilas 480 Nm @ 3,250-5,000 rpm, dibantu dengan rangsangan kuasa tambahan 13 hp daripada unit RSG (belt-driven starter generator) dalam keadaan pemanduan tertentu.

Angka tersebut dilihat jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan kuasa 415 hp/500 Nm seperti yang terdapat pada model A 45 S dan CLA 45 S.

Sistem transmisi pula adalah jenis automatik MCT sembilan nisbah kelajuan yang memacu roda belakang sahaja, dengan pecutan 0-100 km/j sepantas 4.9 saat, kelajuan tertinggi 275 km/j dan bacaan penggunaan bahan api serendah 8.9 liter/100 km.
 

SL 43


Secara standard, SL 43 AMG ini didatangkan dengan rim bersaiz 19 inci (boleh dinaiktaraf kepada 20 atau 21 inci), tip ekzos berbentuk bulat (berbanding bentuk petak pada SL 63), sistem suspensi AMG RIDE CONTROL, serta sistem AMG DYNAMIC SELECT dengan pemilihan sehingga lima mod pemanduan iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+, dan Individual.

Terdapat opsyen penambahan sistem AMG DYNAMIC PLUS yang menambah mod Race kepada pemilihan mod pemanduan sedia ada, selain sistem suspensi yang direndahkan 10 mm, cagak enjin yang berbeza, LSD belakang kawalan elektronik dan angkup brek kuning.

Mercedes juga turut menawarkan sistem stereng gandar belakang aktif yang mampu diaktifkan pada arah yang sama dengan tayar depan pada kelajuan lebih 100 km/j, atau arah bertentangan pada kelajuan di bawah 100 km/j, serta penawaran warna khas MANUFAKTUR.
 

SL 43


Harga jualan belum didedahkan secara rasmi.

Baca: Mercedes-AMG SL 2022

Berita Berkenaan

Berita Global
   Juga baharu fungsi transparent bonnet yang memaparkan pandangan maya pada bahagian bawah depan…
Berita Global
Berbanding varian berkuasanya GT63, Mercedes-AMG GT43 bersama nadi baharu itu turut tidak…
Informasi
Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya rasa bertuah kerana Mercedes-Benz Malaysia tidak lokek…