Mercedes-AMG PureSpeed, HALO ala F1, 315 km/j tanpa bumbung!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Mercedes-AMG PureSpeed
Mercedes-AMG PureSpeed
Pada Mei 2024 Careta melaporkan mengenai kereta konsep tanpa bumbung dan menggunakan HALO ala kereta Formula 1.

Unit pengeluaran Mercedes-AMG PureSpeed sudah pun siap dan dilancar di Abu Dhabi dan model pertama di dalam siri edisi terhad Mercedes‑Benz Mythos.

Bukan sahaja tanpa bumbung, kereta ini juga tidak mempunyai cermin besar dengan rupa depan seperti Mercedes-AMG ONE.

Pemesong angin separa lutsinar pada depan dan sisi berfungsi untuk menghalang gelora angin daripada mengganggu pemandu dan penumpang.
CHERY Omoda 5 MREC Banner Campaign March 2025
Mercedes-AMG PureSpeed

 

Perkakasan gentian karbon dengan ciri aerodinamik pada bahagian bawah tampil berbeza dengan bahagian atas yang membulat.

Penutup but dan peresap belakang juga dioptimumkan secara aerodinamik. Reka bentuk pakej tersebut mengambil kira ketiadaan bumbung.

Rekaan tukup depan yang beralun dioptimumkan secara aerodinamik dan sisi kereta dipasangkan sirip yang jelas kelihatan.

Banyak lagi perkakasan aerodinamik termasuk jenis aktif seperti spoiler belakang yang kemas pada penutup but.

 

Mercedes-AMG PureSpeed

 

Spoiler mempunyai lima darjah berbeza pada kelajuan melebihi 80 kilometer sejam (km/j) untuk kestabilan pemanduan atau pengurangan seretan.

Perkakasan aerodinamik yang tersorok di bahagian bawah depan enjin juga menyumbang kepada pengendalian selamat dan dinamik.

Dengan berat sekitar dua kilogram, perkakasan gentian karbon berfungsi mengikut mod pemanduan AMG.

Sistem akan merendahkannya kira-kira 40 milimeter (mm) pada kelajuan melebihi 80 km/j.

 

Mercedes-AMG PureSpeed

 

Operasi ini menghasilkan kesan Venturi dengan menekan atau menarik kereta kepada permukaan jalan dan mengurangkan angkatan pada bahagian depan.

Pemandu dapat merasakannya secara langsung pada stereng dan membolehkan PureSpeed dikawal dengan lebih jitu di selekoh dan membantu dalam kestabilan.

Sama seperti AMG GT 63 PRO, bahagian bawah badan turut dilengkapi perkakasan aerodinamik sebagai ganti kepada bumbung dan meningkatkan daya mendap.

Sistem lif pada gandar depan membantu pemandu melepasi bonggol jalan atau turun dari tanjakan yang curam.

 

Mercedes-AMG PureSpeed

 

Selain itu, keanggunan PureSpeed juga boleh dilihat pada bahu yang mengembang pada bahagian depan dan belakang dan langsing di tengah.

Rekaan rim aluminium 21 inci dengan jejari yang rumit mempunyai penutup gentian karbon. 

Penutup depan yang terbuka dibuat bagi mengoptimumkan aliran udara depan dan penyejukan brek. Rim belakang lebih tertutup untuk mengurangkan rintangan angin. 

Rim 9.5 J x 21 inci depan dipadan bersama tayar 275/35 dan rim belakang 11.0 J x 21 dengan tayar 305/30.

 

Mercedes-AMG PureSpeed

 

Satu perkakasan yang jelas dilihat ialah sistem HALO berbanding tiang A biasa. HALO berfungsi sebagai pelindung sekiranya berlaku kemalangan.

Dua gerbang di belakang kerusi atau sistem perlindungan guling (roll-over) turut melindungi penumpang semasa kemalangan.

Tidak hanya berfungsi sebagai perkakasan, bahagian bawah HALO mempunyai nyalaan dan menambah estetika.

Dua buah topi keledar dengan ciri aerodinamik dibuat khas untuk Mercedes-AMG PureSpeed.

 

Mercedes-AMG PureSpeed

 

Topi ini dibuat dalam warna sama seperti kereta dan mempunyai sistem komunikasi interkom untuk berbicara dengan jelas walaupun pada kelajuan tinggi.

Telefon pintar juga boleh dihubungkan dengan interkom untuk pemandu dan penumpang atau mendengar muzik melalui pembesar suara topi keledar.

Selain produk Mercedes‑Benz Mythos, kereta ini juga menampilkan beberapa perkakasan bagi menghargai sukan permotoran dan sejarah lalu.

Di antaranya lencana AMG yang mengingatkan kepada kereta lumba seperti 300 SLR, warna dan angka sepuluh.

 

Mercedes-AMG PureSpeed

 

Tanpa bumbung tidak bermakna Mercedes-AMG PureSpeed dibiarkan begitu saja. Setiap kereta dibekalkan penutup cuaca selain selimut AMG untuk simpanan di dalam garaj.

Sistem ampaian AMG ACTIVE RIDE CONTROL dipadan bersama penstabil olengan hidraulik separa aktif untuk lekatan di atas jalan raya yang optimum.

Set pembrekan seramik AMG dengan angkup enam omboh di depan dan satu omboh di belakang bertugas untuk memperlahankan dan menghentikan PureSpeed.

Sistem pembelokan gandar belakang aktif turut membentuk pengendalian dan memudahkan kawalan kereta.

 

Mercedes-AMG PureSpeed

 

Sistem akan memutarkan roda belakang pada arah berlawanan di bawah 100 km/j atau mengikut arah roda depan pada kelajuan di atas 100 km/j.

Enjin AMG 4.0-litre V8 biturbo meledakkan 585 ps dan 800Nm dan pecutan dari 0 sehingga 100 km/j hanya perlu 3.6 saat.

Pemandu dan penumpang boleh menikmati kelajuan sehingga 315 km/j dalam keadaan terbuka dan laungan V8 tanpa halangan.

Enjin dipadan bersama kotak gear AMG SPEEDSHIFT MCT 9G dan pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+.

 

Mercedes-AMG PureSpeed

 

Harap maklum, Mercedes-AMG PureSpeed hanya dibuat sebanyak 250 buah sahaja.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
  Model konsep Mercedes‑AMG PureSpeed yang baru sahaja diperkenalkan. Tiada bumbung, tiada cermin…