Mercedes-AMG perkenal e-turbo - teknologi dari F1 untuk jentera jalanan AMG

oleh Mohamad Hanif|
Antara masalah yang kerap menghantui para pemilik kereta berenjinkan turbo adalah turbo-lag - sela masa yang diperlukan untuk menukar output kuasa enjin sebagai satu tindak balas kepada perubahan pada pendikit.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Masalah turbo-lag ini boleh dikurangkan dengan mengaplikasi beberapa cara seperti penggunaan turbo jenis twin-scroll, turbo berkembar atau sistem antilag yang kerap kali digunakan pada jentera rali.

Namun, terdapat satu lagi cara yang ditemukan oleh para jurutera di Mercedes-AMG dan mereka mengambil inspirasi daripada komponen yang dibangunkan untuk pasukan Formula 1, iaitu pengecas turbo yang dibantu dengan motor elektrik.

 


Teknologi baharu ini dibangunkan dengan kerjasama Garrett Motion dan ia terdiri daripada sebuah pengecas turbo dengan bantuan sebuah motor elektrik bersaiz 4 cm yang diintegrasikan secara terus ke dalam perumah.

Dengan kehadiran motor elektrik ini, Mercedes-AMG mendakwa ia mampu memberikan tahap respon dengan segera ketika pendikit ditekan serta-merta dalam apa jua kelajuan enjin, dan ini bermakna anda boleh mendapatkan tujahan kuasa dengan segera tanpa kehadiran turbo-lag yang anda takutkan itu.

Malah, dakwa Mercedes-AMG lagi, walaupun pemandu mengangkat seketika pendikit atau membrek, turbo elektrik tersebut mampu untuk mengekalkan kadar tekanan boost yang diperlukan sepanjang masa.

 


Ia merupakan satu lagi perpindahan teknologi sebenar yang dibangunkan daripada dunia perlumbaan Formula One dan diaplikasikan ke dalam model jalanan, namun pihak Mercedes-AMG tidak menyatakan model manakah yang pertama bakal menerima ciri pengecas turbo elektrik ini.

Apa yang pasti, ia bakal menjadikan jentera-jentera AMG pada masa akan datang lebih berkuasa dan bertenaga, lebih-lebih lagi jika digandingkan dengan enjin 2.0 liter M139 yang dikatakan enjin empat silinder paling berkuasa di dunia itu.