Pemandu juga orang yang sama iaitu Maro Engel, duta jenama Mercedes-AMG dan pelumba DTM.
Meskipun mencatat rekod pada 2022, keadaan litar tidak berapa ideal dengan beberapa bahagian sedikit lembap.
Untuk misi terbaru, persediaan terperinci dilakukan dan keadaan litar perlu sesuai untuk merekodkan masa di bawah 6 minit 30 saat.
Pada pukul 6:56 petang, 23 September 2024 dan di pusingan ketiga Maro Engel berjaya mencatat rekod baharu di litar dengan jarak 20.832 kilometer (km).
Suhu udara pada waktu itu ialah 15 darjah Celcius dan aspal 20 darjah dengan keadaan yang kering dan menawarkan cengkaman sempurna untuk rekod di litar.
Sebagai jentera hibrid, Maro Engel perlu memanfaatkan tenaga elektrik hibrid sebaik mungkin dan suatu yang mencabar terutama sekali dengan jarak litar melebihi 20 km.
Oleh itu, adalah sangat penting untuk menggunakan bahagian litar yang betul bagi memulihkan tenaga semasa fasa pembrekan dan menyimpan semula tenaga di dalam bateri.
Maro Engel menggunakan sistem Kawalan Aliran Tenaga (EFC) empat tahap dan dalam beberapa keadaan mengangkat kaki daripada injak pemecut lebih awal berbanding kebiasaan.
Dalam istilah teknikal, teknik itu dikenali sebagai lift and coast atau angkat dan biar.
Satu lagi yang menarik ialah ujian awal menggunakan simulator pemanduan di Affalterbach dan Nürburgring turut membantu pasukan dan pemandu untuk misi rekod baharu.
Selaras dengan spesifikasi Nürburgring 1927 GmbH & Co KG, AMG One diuji dan didokumentasikan oleh TÜV Rheinland bagi memastikannya dalam keadaan standard.
Untuk misi baharu, AMG One menggunakan nilai kamber maksimum dan Maro Engel memilih mod Race Plus.
Tetapan itu menjadikan kereta dalam keadaan aerodinamik aktif maksimum dan penalaan chasis yang tegar.
Gandar depan direndahkan 37 miliimeter (mm) dan 30 mm pada gandar belakang dan semestinya kuasa penuh dari semua motor elektrik.
Sistem Pengurangan Seretan (DRS) diaktifkan melalui butang pada stereng dan menaikkan bilah pada dapra dan bahagian atas sayap belakang.
Maro Engel turut menemui potensi baharu dalam operasi DRS berbanding sesi pada 2022 bagi memanfaatkan lagi keupayan AMG One.
Mercedes‑AMG One digerakkan enjin 1.6 liter V6 dengan pengecas turbo tunggal bantuan elektrik, empat motor elektrik dan pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+.
Enjin yang dipasang pada bahagian tengah dan di depan gandar belakang boleh direv sehingga 11,000 rpm.
Hamburan tenaga setinggi 1,063 kuasa kuda (hp) dengan daya kilas 1,000 Nm dan kelajuan dihadkan pada 352 kilometer sejam (km/j).
Hanya 275 buah AMG One dikeluarkan dan di antara pemiliknya termasuk Lewis Hamilton dan Nico Rosberg.
Penulis: Muhammad Md Tajudin