Mercedes-AMG GT4 - jentera lumba berharga RM1 juta!

oleh Mohamad Hanif|
Semenjak Mercedes-Benz melancarkan model AMG GT4 yang dikhususkan untuk perlumbaan pada tahun 2018, mereka telah berjaya menyerahkan lebih daripad 120 unit jentera lumba kepada para pelanggan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Dan bukan calang-calang juga apabila Mercedes-AMG GT4 berjaya meraih 137 kemenangan podium, 151 kemenangan di dalam kelas serta 53 kemenangan secara keseluruhan. 

Untuk meraikan tahun kesepuluh pengenalan program perlumbaan tersebut, Mercedes-AMG telah membuat keputusan untuk memperkenalkan versi GT4 yang telah ditambah baik. 
 


Dari segi luaran, mungkin tidak banyak perubahan yang boleh dikesan, namun menurut Mercedes, mereka telah menambah baik unit lampu utama LED supaya mampu memberikan iluminasi yang lebih baik di dalam litar lumba. 

Sudah tentu aspek prestasi diberikan penekanan di mana para jurutera telah melakukan beberapa perubahan seperti menambah liang udara brek daripada gentian karbon, bukaan liang udara dan talian brek yang lebih besar. 
 


Selain daripada itu, perlindungan terhadap haba dan aliran udara turut diberikan perhatian di mana kesemua ini bertujuan untuk meningkatkan kadar penyejukan brek yang sangat penting ketika perlumbaan endurance. 

Sistem brek kini dilengkapi dengan cakera hadapan yang dibangunkan serba baharu untuk tahap kebolehpercayaan dan ketahanan yang lebih tinggi serta tangki bendalir brek yang lebih besar. 
 


Mercedes-AMG GT4 didatangkan dengan nadi bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 469 kuasa kuda dan 630 Nm daya kilas. 

Menggunakan transmisi sekuential enam nisbah kelajuan, jentera ini mampu memecut kurang dari empat saat dari 0-100 km/j sebelum mencapai kelajuan tertinggi 250 km/j. 
 


Bagi mereka yang berminat, Mercedes-AMG GT4 sudah boleh ditempah dengan harga jualan bermula dari €209,000 (RM1 juta), manakala proses penghantaran pula dijadualkan menjelang akhir bulan ini. 

Untuk para pemilik jentera sedia ada boleh memilih untuk menaik taraf dengan membeli pakej yang difahamkan 'mampu milik' dan jimat belanja.