Mercedes-AMG GT R dihentikan produksi 2021, beri laluan kepada AMG GT Black Series

oleh Mohamad Hanif|
Beberapa hari yang lalu telah tersebar satu berita di mana Mercedes-Benz akan mula menghentikan pengeluaran bagi model Mercedes-AMG GT R untuk pasaran Amerika Syarikat pada tahun 2021.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ini adalah berdasarkan emel dalaman yang diterima oleh kebanyakan pengedar di mana sebarang tempahan bagi model tersebut akan mula dihentikan menjelang akhir tahun ini.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Mercedes-Benz seperti yang dipetik oleh CarScoops, syarikat tersebut menjelaskan, "Mercedes-AMG GT Black Series akan menjadi varian paling tertinggi untuk model GT dua pintu."

Langkah tersebut diambil bertujuan untuk tidak memberikan kesan kepada penjualan varian AMG GT Black Series yang baharu sahaja dilancarkan, selain memberikan peluang kepada Mercedes-Benz untuk menaiktaraf model sedia ada untuk memenuhi ruang lompong antara Black Series dan model AMG GT yang lain (GT S & GT C).

 


Mercedes-AMG GT Black Series merupakan sebuah model berprestasi tinggi yang akan tiba pada tahun hadapan dan dijual pada harga bermula dari $325,000 di pasaran Amerika Syarikat.

Mercedes-AMG GT Black Series ini hadir dengan enjin 4.0 liter bentangan V8 jenis flat-plane crank dan pengecas turbo berkembar yang mampu menghasilkan angka output 720 hp dan 800 Nm.

 


Enjin tersebut turut dipertingkatkan dengan aci sesondol serba baharu, manifold ekzos yang direka semula, serta sistem pelinciran jenis dry sump sebelum digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh nisbah kelajuan.

Tetapan ini membenarkan AMG GT memecut sepantas 3.2 saat dari 0-100 km/j, dan 0-200 km/j dalam masa kurang sembilaan saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 325 km/j.

Disebabkan itu, GT Black Series kini menjadi jentera produksi terpantas di litar Nurburgring dengan catatan masa sekitar 6:43.616, atau 1.3 saat lebih pantas berbanding Lamborghini Aventador SVJ.